Denim kini benar-benar mengambil alih di mana sahaja tempat anda kunjungi dan sudah menjadi ‘enjin’ utama ekspresi diri. Lupakan basic look seluar jean dan jaket denim, tiba masa untuk upgrade gaya denim on denim anda untuk memberi impak dan daya tarikan.
Lantaran putaran fesyen, gaya denim on denim ini telah kembali hangat dan menjadi salah satu gaya kesukaan orang ramai. Gaya ini telah terkenal sejak tahun 60-an lagi. Bermula dengan trendsetter pada zaman itu, Françoise Hardy, Jane Birkin dan Brigitte Bardot muncul dengan gaya streetwear denim on denim membuatkan gaya mereka waktu itu kelihatan berani.
Apabila bercakap tentang denim on denim, pasti anda memikirkan untuk memakai seluar jean dan jaket denim biasa. Tetapi, terdapat banyak cara untuk memadankannya agar tidak kelihatan basic. Jika anda ingin menggabungkan penampilan ini ke dalam gaya peribadi anda tetapi tidak pasti di mana hendak mula, berikut adalah beberapa idea untuk membantu anda!
1. ‘Candian Tux‘ Moden
Istilah slang Canadian Tux merujuk kepada gaya memadankan seluar jean dengan jaket denim yang bermula pada 1951 apabila Bing Crosby mendaftar masuk di Hotel Vancouver tetapi tidak dibenarkan masuk gara-gara pakaian denim on denim-nya. Kita biasa lihat padanan ini disekeliling kita tetapi kebanyakannya kelihatan basic. Apa yang boleh diubah, anda boleh memadankan seluar jean dengan jaket yang bercorak senada untuk membuatkan look anda kelihatan kemas tidak bosan!
2. Gaya feminin bersama skirt
Skirt denim ialah item paling diingini setiap para wanita dan semestinya anda perlu ada satu helai di dalam almari. Tidak dinafikan, kemana saja anda pergi pasti ada akan ternampak seorang memakai skirt denim tetapi selalunya ia skirt potongan lurus biasa. Gaya ini disukai kerana anda akan kelihatan feminin. Anda boleh mengenakan tee sedondon dengan pilihan skirt yang berbeza dari skirt biasa. Bagi saya, jika tambah jaket oversized juga akan membuat anda menang gaya! Untuk padanan, but tinggi dan aksesori melengkapkan keseluruhan gaya.
3. Bermain dengan rona denim berbeza
Dua rona berbeza? Jangan risau, anda masih kelihatan bergaya mengenakan dua rona berbeza. Tidak semestinya apabila hendak pakai denim on denim, anda perlu memakai yang sedondon. Apa kata cuba untuk memakai dalam rona berbeza. Mungkin anda boleh menggayakan beberapa rona denim dalam satu look? Padanan ini akan menaikkan gaya anda dan menampakkan anda mahir dalam mix and match. Jadi, jangan takut untuk mengenakan rona berbeza!
4. Oversized denim
Bagi yang gemarkan gaya oversized, pilihan padanan gaya ini boleh dijadikan rujukan. Untuk merangkul gaya oversized , tidak bermakna anda perlu memakai baju dan seluar saiz besar. Sesetengah orang tidak suka gaya begitu. Tetapi rahsianya semua terletak pada keyakinan diri. Anda boleh mengimbangi gaya dengan memakai baju bersaiz kecil dan seluar bersaiz besar, tetapi anda juga boleh memilih untuk kedua duanya besar dan mengutamakan keselesaan. Bagi saya, jika dipakai dan dipadankan dengan baik, apa salahnya!
5. ‘Skirt over pants‘
Bagi yang sukakan gaya berani, memakai skirt dan seluar bersama akan membuatkan orang sekeliling melihat anda dua kali kerana gaya ini tidak semua berani untuk pakai. Mengikut gambar rujukan, anda boleh mengenakan midi skirt atau skirt pendek untuk menampakkan seluar jean di dalam. Bagi untuk membuatkan gaya anda tidak kelihatan sarat, crop top atau baju yang mengikut siluet badan adalah paling sesuai. Mengimbangi siluet yang lebih padan dalam kombo skirt dan seluar anda juga akan membantu menyerlahkan bentuk dan gaya anda. Meneroka cara menggayakan skirt di atas seluar agak mencabar, tetapi banyakkan melihat gambar rujukan yang kena dengan item dalam almari anda.
6. Denim selain rona biru
Denim berona biru ialah paling ikonik tetapi apa salahnya kita mencuba sesuatu yang lain. Denim juga boleh dihasilkan menjadi rona lain selain biru seperti hijau, merah jambu, ungu dan banyak lagi. Seperti gambar rujukan, anda boleh menggayakan jaket cropped dan seluar jean potongan besar sedondon berona hijau. Jika ingin lebih tertutup, anda boleh tukar bra top dan gantikan dengan kemeja atau tee. Untuk padanan agar tidak kelihatan bosan, anda boleh memakai aksesori bertentangan dengan rona pakaian.
7. Denim head-to-toe
Saya fikir, memakai denim dari atas hingga bawah terlalu over tetapi Dua Lipa membuktikan ia adalah salah. Cara padanan ini membuatkan gaya itu tidak terlalu sarat, mungkin anda boleh memakai crop top bersama jean panjang atau tee bersama midi skirt agar tidak nampak berlebihan. Yang paling penting untuk melengkapkan gaya, jangan lupa tas tangan dan sepatu denim!