Saya menyertai keluarga EH! sewaktu usianya lapan tahun, dan waktu itu EH! antara penerbitan fesyen dan kecantikan bahasa Melayu yang menjadi pilihan utama, baik pengiklan mahupun pembaca. Hari ini usia EH! sudah mencecah 25 tahun, sudah banyak yang kami lalui, ribuan artikel sudah diterbitkan, merata destinasi sudah kami jelajahi dan beratus-ratus orang sudah ditemubual untuk dijadikan bahan cerita. EH! bukan sahaja dijadikan sumber informasi atau bahan hiburan santai pembaca, malah saya yakin ia juga dijadikan bahan rujukan atau kajian penerbitan lain. Dari edisi cetak hinggalah secara digital sepenuhnya, EH! kekal jadi pilihan, malah pengikut di media sosial antara yang paling tinggi bagi media fesyen dan kecantikan di Malaysia. Meraikan ulang tahun ini juga, secara istimewanya kami mengundang 25 selebriti ternama untuk membarisi EH! TOP 25. Jika biasanya 20 selebriti sahaja, tapi kami menambah lima lagi personaliti selari dengan angka usia kami. Dari selebriti kelas satu hingga ke figura generasi baharu, ada sebab mengapa tiap seorangnya dipilih membarisi senarai ini. Dayang Nurfaizah diakui sebagai salah seorang penyanyi baris utama di Malaysia, begitu juga Hael Husaini, Ernie Zakri dan Aina Abdul. Kaka Azraff dan DeFam pula rancak mewarnai dunia muzik dengan jalur muzik mereka yang tersendiri. Awal Ashaari dan Scha Alyahya utuh sebagai power couple lebih-lebih lagi di landskap fesyen tanah air. Amelia Henderson, Daiyan Trisha, Eyka Farhana dan Mimi Lana bukan sahaja berjaya menjual bakat mereka tapi berpengaruh juga dalam soal gaya dan stail. Sherry Al-Hadad pula sering saja menjadi pilihan untuk mengemudi pelbagai program perdana saluran TV. Aedy Ashraf, Hun Haqeem dan Redza Rosli, tiga aktor yang zahirnya jelas laris menjadi pilihan penerbit dan saluran televisyen. Janna Nick bukan sahaja cemerlang sebagai pelakon, malah isi kandungannya di TikTok bersama Dini cukup berpengaruh dan engaging. Nia Atasha pula cemerlang dalam dunia peragaan, malah dia mencipta sejarah apabila menjadi wajah Melayu pertama menyeri kempen Victoria’s Secret. Aisha Retno, Mierul Aiman, Sharifah Rose dan Siti Khadijah Halim antara empat nama generasi baharu yang saya kira punya masa depan cukup cerah dalam lapangan yang diceburi. Dikesempatan ini juga, saya mewakili warga kerja EH! ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca EH! yang setia menyokong kami sejak dari awal pelancaran (Oktober 1999), tanpa anda mustahil untuk EH! terus berada di sini!
Khairul Abidin
Pengarah Kreatif