Memang tidak dapat dinafikan, keberkesanan produk dari Korea terutama sekali produk kecantikan menjadikan ramai wanita di Asia Tenggara termasuklah Malaysia ghairah untuk membeli produk tersebut di pasaran. Malah, ada juga yang sanggup ke Korea semata-mata untuk memborong produk kecantikan tersebut yang jauh lebih murah dijual di Korea berbanding pasaran antarabangsa. Atas faktor permintaan yang tinggi, kini banyak produk Korea mudah diperoleh di pasaran tempatan tidak kiralah pasaran komersil atau pun tidak.
Namun, ramai pengguna produk Korea tidak tahu atau kurang mahir dalam mengenal sama ada produk tersebut adalah asli buatan Korea atau tiruan. Malah, ada juga terus percaya dengan iklan yang menulis produk Korea. Dalam erti kata lain, ramai pengguna tertipu dan terpedaya dengan helah yang dilampirkan.
Padahal, ada juga produk yang dikatakan produk Korea sebenarnya tidak pun ada di pasaran Korea. Menyedari risiko ini yang boleh membawa keburukan kepada syarikat pengeluar produk Korea dan pengguna produk Korea, pakar kaji selidik produk kecantikan Korea dari syarikat yang menggeluarkan produk Korea seperti ETUDE, NATURE REPUBLIC, TONY MOLY dan banyak lagi telah membuat tinjauan di Malaysia untuk melihat sendiri situasi ini, baru-baru ini.
Berdasarkan kajian dan tinjauan tersebut, majoriti pihak dari MEGACOS dapati terlalu banyak produk Korea di Malaysia yang kebanyakkan adalah produk tiruan. Malah, mereka dapati banyak juga produk yang dikatakan dari Korea sebenarnya tidak wujud di Korea. Bahkan, mereka rasa tindakan segelintir pihak ini dengan berani telah meletakkan label MADE IN KOREA dan tulisan Korea semata-mata mahu menunjukkan produk berkenaan dari Korea walhal ianya tidak. Sekaligus mengaburi mata pembeli.
Untuk makluman semua, produk yang mempunyai tulisan Korea dan Made In Korea tidak semestinya produk tersebut dari Korea. Pakar selidik tersebut turut berkongsi, identiti produk asli dari Korea boleh diketahui menerusi bau dan juga bentuk rekaan bungkusan produk. Majoriti produk ori dari Korea lebih cenderung menggunakan rekaan yang ringkas dan banyak berunsur comel dan unik. Oleh itu, pengguna tegar produk Korea harus lebih berhati-hati dalam membeli produk Korea yang lebih mahal dan bersesuai dengan kualiti produk.
Bagi membantu pembaca EH! KOREA BUZZ, pihak kami memberi peluang kepada anda untuk berkongsi dan menghubungi pihak pakar sekiranya anda was-was atas produk tersebut. Anda boleh hubungi dengan menghantar emel ke KBSEOUL2017@GMAIL.COM.
Lebih istimewa, anda juga boleh ketahui tips mengenal pasti produk Korea yang asli dalam entri yang akan datang. Sesungguhnya, perkongsian ini dibuat bagi menjamin kepuasan dan keberkesan sebenar produk Kecantikan Korea yang diiktiraf sebagai produk yang berkualiti tinggi dan berkesan.