Persembahan peserta Big Stage, Sarah Suhairi mendendangkan lagu K-POP dari kumpulan popular Black Pink mendapat pujian ramai terutama sekali dari peminat K-POP di seluruh Malaysia. Majoriti peminat K-POP memuji keberanian gadis genit ini apabila menyampaikan lagu Ddu Du Ddu Du secara live dihadapan 3 orang juri professional iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Mas Idayu.
Selain persembahan bersahaja dan menyakinkan seperti mana pendapat dari Siti, peminat turut memuji sebutan bahasa Korea dari Sarah yang begitu fasih dan lancar seperti ianya adalah bahasa ibunda penyanyi yang meminati D.O dari kumpulan EXO. Dari sini timbul pula tanda tanya, siapakah yang mengajar Sarah untuk menyanyikan bait lirik Korea tersebut sama seperti bintang berdarah Korea?
Sebelum sempat EH! KOREA BUZZ bertanya soalan ini, Sarah telah menjawab persoalan ini dilaman twitter peribadinya dengan mengucapkan terima kasih kepada Hyunmin-A yang juga penyanyi K-POP kelahiran Malaysia kerana telah mengajarnya menyebut bahasa Korea dengan betul.
Disamping itu, ia telah diperkukuhkan lagi dengan Hyunmin-A yang telah menunjukkan cara dia mengajar Sarah dilaman Instagramnya. Dari sini, barulah ramai peminat tahu disebalik persembahan Sarah yang memukau peminat Korea dari Malaysia dalam program Big Stage di Astro Ria. Malah, ada peminat tegar K-POP turut merakamkan tahniah kepada kedua-dua figura ini dan menyatakan terbaik gurunya.
Dalam pada pujian, ada netizen terutama sekali peminat K-POP kurang setuju dengan kritikan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mengatakan lagu ini adalah lagu yang sangat mudah dinyanyikan. Oleh itu, ada juga yang menyarankan penyanyi nombor satu Malaysia ini cuba menyanyikan lagu K-POP yang menjadi kegilaan ramai anak muda. Bagaimanapun, peminat berasa lega apabila Faizal Tahir berada di pihak mereka yang turut sama tidak setuju dengan komen Siti. Sejujurnya, rata-rata peminat menegaskan lagu ini adalah sukar untuk dinyanyikan secara solo kerana ianya lagu yang menampilkan 4 gadis cantik yang mempunyai vokal yang bertenaga. Malah, peminat menyatakan bahagian rap dari Jennie adalah bahagian yang paling sukar untuk dinyanyikan.
Atas kejayaan ini juga, ada peminat menyuarakan hasrat untuk melihat Sarah dan Hyunmin-A berduet dalam sebuah lagu. Adakah ia bakal direalisasikan memandangkan kedua-dua dibawah pengurusan yang berbeza. Sarah dibawah pengurusan Malaysia manakala Hyunmin-A dimiliki sepenuhnya oleh pengurusan Korea.
Apa sekalipun, EH! KOREA BUZZ mengucapkan tahniah kepada Sarah kerana kini mula diminati ramai peminat terutama sekali peminat K-POP sehingga menempatkan dirinya berada ditangga pertama undian aplikasi Tik Tok. Difahamkan, ramai peminat K-POP memiliki akaun Tuk Tok. Nampaknya selepas ini Hyunmin-A boleh buat kelas K-POP di Malaysia.