Nama aktor kacak Korea, Jo Wan Jin tidaklah segah pelakon lain. Walaupun masih baru, penglibatannya dalam dunia perfileman sebagai hero semakin mendapat perhatian ramai lebih-lebih lagi dari peminat antarabangsa. Malah, Wan Jin yang asalnya seorang atlet olahraga Korea ini sering dilabelkan sebagai hero seksi dan comel kerana penglibatan sebagai pelakon filem panas.
“Saya tidak menyangka mempunyai peminat dari Asia Tenggara. Oleh itu, saya juga berminat untuk mengenali lebih dekat budaya masyarakat di sini lebih-lebih lagi Malaysia,” ujarnya.
Masih belum berkesempatan datang ke Malaysia, Wan Jin yang baru saja pulang dari Singapura untuk tujuan kerja menyimpan hasrat untuk berlakon di Malaysia. Malah, dia juga berazam untuk beralih arah dari berlakon filem panas ke filem normal atau pun drama Korea jika diberi peluang.
“Saya tidak hairan dengan kata-kata orang lain terhadap penglibatan saya sebagai aktor filem panas. Yang saya tahu, saya hanya lakukannya sebagai kerja saja dan saya sekadar pelakon.
“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk berlakon filem berlainan genre atau mana-mana drama di Korea atau pun antarabangsa jika mendapat peluang. Agak sukar bagi saya untuk memegang watak utama kalau saya tidak berlakon filem untuk orang dewasa ini,” penjelasan jujur dari Wan Jin.
Selain bergelar pelakon, Wan Jin yang berusia 26 tahun ini juga boleh berbahasa Inggeris. Malah, Wan Jin bakal terbang ke Thailand untuk penggambaran filem terbaru beliau. Sebelum ini, Wan Jin sudah pun berlakon di Filipina dengan hasil kerjasama produksi di sana. Menyedari budaya masyarakat Malaysia, Wan Jin terbuka menerima apa jua watak yang diberikan kepadanya asalkan dia boleh mempelajari lebih dalam dunia seni lakonan. Disamping bekerja sebagai pelakon, Wan Jin yang masih lagi solo adalah pemilik agensi hiburan yang memegang ramai pelakon Korea yang lain.