Popular bukanlah jalan mudah untuk seseorang dipilih menjadi juru cakap sesebuah produk. Syarat pemilihan menjadi lebih susah kerana tanpa adanya personaliti yang menarik, komunikasi yang baik dan pengurusan yang bijak mengatur langkah, bintang popular atau influencer tidak akan berjaya menempa nama sebagai juru cakap atau pun menjadi model produk berkenaan. Apatah lagi jika produk tersebut sangat popular dan bertaraf dunia.
Terbaru, EH! KOREA BUZZ dimaklumkan penyanyi dari Korea yang kini menempa nama di Malaysia iaitu Jang Han Byul sedang diintai oleh sebuah syarikat telekomunikasi terbesar dari China untuk melantiknya sebagai juru cakap. Mereka dikatakan sedang mencari Produk Model (PM) terbaru untuk kempen dan produk baru mereka. Namun, ianya masih lagi belum muktamad kerana wakil syarikat tersebut masih lagi ragu-ragu akan kredibiliti penyanyi lagu Luka & Bahagia.
Dalam erti kata lain, adakah benar-benar Han Byul sesuai dengan kempen yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Serta adakah produk tersebut bersesuaian dengan imej penyanyi Korea ini. Ia juga bersangkut rapat dengan Han Byul yang bukan lagi diuruskan oleh orang yang menjadikannya bintang di Malaysia.
Menyentuh mengenai syarat tersebut, difahamkan figura berkenaan mestilah dikenali di Malaysia dan Korea serta mempunyai akaun sosial media yang sangat aktif. Maksudnya, mereka tidak mahulah individu berkenaan hanya mempunyai pengikut yang ramai tetapi langsung tidak berkomunikasi dengan peminat di laman sosial media artis itu.
Turut menyatakan banyak syarat yang lain, populariti Han Byul di Korea turut diragui individu yang berhasrat untuk memilih jejaka ini. Malah mereka juga sedang mengintai dua lagi bintang Korea yang namanya lagi besar dari juara Big Stage musim kedua. Berkongsi dua nama tersebut, syarikat ini sebenarnya lebih berminat untuk mengambil IU yang pernah ke Malaysia baru-baru ini. Katanya, perbincangan telah pun dilaksanakan namun mempunyai sedikit masalah dengan syarikat yang terlibat. Memandangkan individu ini telah berjumpa dengan pintu yang lebih dekat dengan IU, berkemungkinan nama Han Byul terus disingkirkan dari senarai awal.
Selain IU, mereka turut berminat dengan bintang popular Korea iaitu Rain. Rasa minat ini lahir apabila melihat kejayaan sebuah syarikat dari Korea yang menjalankan kempen di Malaysia dengan memilih Rain dan Dato Seri Siti Nurhaliza sebagai duta produk. Katanya, lebih baik dia memilih seorang yang sama taraf dengan Siti seperti Rain.
Oleh itu,Rain dan IU dilihat paling sesuai namun kemungkinan rezeki boleh memihak kepada Han Byul kalau benar-benar figura ini ada menunjukkan peningkatan. Namun, peningkatan yang dimaksudkan tidak pula dinyatakan. Apa sekalipun, keputusan mengenai lamaran ini bakal diumumkan apabila salah seorang nama-nama ini tandatangani kontrak dengan mereka.
Mungkin juga, nama lain yang bakal dipilih. Yelah, di Korea, setiap bulan nama artis yang dipilih menjadi jurucakap berubah-ubah, Antara nama yang sering dijadikan pilihan sudah tentu BTS, Kang Daniel, Cha Eun Woo dan ramai lagi. Agak-agak anda siapa yang layak ya?