Dalam pada umat Islam di Malaysia bergilir-gilir pergi ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan haji yang dijangka jatuh pada 22 Ogos 2018, umat Islam di Korea pula melakukan sebaliknya.
Sesungguhny, sambutan Aidil Adha di Korea sama seperti sambutan Syawal yang mana mereka hanya bersembahyang secara berjemaah di pagi raya dan meneruskan jadual harian sebagai rakyat Korea.
Malah, ibadah Korban yang meriah dilaksanakan di Malaysia sama sekali tidak boleh dijalankan di Korea. Menurut Komuniti Islam Korea, ibadah Korban atau sembelihan lembu atau kambing sewaktu Aidil Adha adalah sesuatu yang tidak rasmi.
Situasi begini berlaku berikutan undang-undang kerajaan Korea yang melarang untuk membuat sembelihan secara terbuka. Dalam pada itu, masih ada umat Islam Korea melakukan ibadah Korban secara tertutup. Itupun, ibadah berkenaan hanya dibuat dengan penyembelihan kambing saja.
Selain undang-undang, harga haiwan ternakan yang terlalu mahal juga membuatkan ibadah korban tidak semeriah di Malaysia dan negara Islam yang lain. Difahamkan purata harga seekor lembu adalah USD2,000 dan kambing pula ialah USD300.
Sungguhpun menyedari umat Islam boleh melakukan ibadah Korban di negara Islam lain termasuklah Malaysia, perkhidmatan sebegini dilihat sukar oleh umat Islam Korea atas faktor dan masalah yang tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun, umat Islam Korea menunjuk minat baik andai kata mempunyai tawaran sambutan Aidil Adha di Malaysia. Oleh itu, menjelang perayaan Aidil Adha yang lebih kurang sebulan saja lagi, EH! KOREA BUZZ doakan agar impian umat Islam Korea menunaikan ibadah Korban bakal terlaksana.