Hero baru dari Korea, Jisoo, 24, yang mula dikenali menerusi drama Cheer Up bukanlah asing bagi peminat drama Korea. Malah, aktor kacak dan tinggi lampai ini berjaya menambat hati ramai gadis muslimah kerana penglibatannya dalam drama pendek berjudul Lunch Box.
Walaupun drama pendek tiga episod ini hanya disiarkan secara online, impak jalan ceritanya begitu memberikan kesan mendalam dan membuka hati ramai peminat untuk lebih tahu tentang makanan Halal di Korea. Menerusi drama yang diterbitkan pada 2015 ini, Jisoo terpikat dengan seorang gadis dari Indonesia yang beragama Islam. Untuk memikat hati gadis tersebut, Jisoo berusaha masak pelbagai menu Halal seperti Nasi Goreng dan Rendang untuk menambat hati gadis tersebut.
Selain jalan cerita yang menarik, drama hasil kerjasama pihak Korea dan Indonesia ini memudahkan pelancong Islam ke Korea dengan menyatakan bahawa terdapat kedai yang telah menjual barangan halal dengan bertandakan lambang Halal Korea. Oleh itu, pelancong Islam tidaklah perlu rungsing lagi mengenai makanan Halal di Korea.
Di samping itu, peminat juga teruja dan tertarik dengan pelakon Malaysia berdarah Cina iaitu Alvin Chong menerusi drama Awak Suka Saya Tak? bersama Emma Maembong. Wataknya sebagai seorang Mualaf begitu menarik perhatian peminat dengan sebutan ayat suci Al-Quran yang begitu jelas seperti dirinya benar-benar sudah menganut agama Islam.
Kedua-dua drama ini mempunyai persamaan apabila ia mampu menarik lebih ramai gadis-gadis untuk lebih menghargai dan menghormati tentang agama. Ia juga sedikit sebanyak menghakis tohmahan kesat terhadap orang Korea dan Cina mengenai Islam. Apapun, ramai peminat menyimpan hasrat indah dengan harapan kedua-dua hero ini menjadikan watak tersebut di dunia realiti.