Peserta Big Stage 2 yang kini tular dengan persembahan minggu kedua dengan mendendangkan lagu asal nyanyian Nabila Razali, Vroom Vroom iaitu Jang Han Byul akui mempunyai ramai kawan dari Malaysia sewaktu dia menetap di Australia.
Pun begitu, Han Byul begitu teruja apabila pertama kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur tidak putus-putus memuji dan terkejut mendekati lebih dekat masyarakat dan budaya tempatan.
“Saya tidak menyangka, Malaysia seharmoni begini. Bagi saya Malaysia antara tempat yang paling cantik di dunia. Terus-terang, saya merasa ingin terus menetap di Malaysia,” katanya.
Disamping itu, Han Byul yang tidak menolak kemungkinan menjadikan Malaysia sebagai rumah keduanya mengakui sokongan dari peminat yang membuatkan dirinya ingin terus berada di Malaysia.
“Saya mempunyai ramai kawan Malaysia waktu saya kecil di Australia. Saya tidak sangka, Malaysia mempunyai budaya yang begitu indah dan pelbagai. Ianya diluar jangkaan saya. Paling saya suka tentang Malaysia adalah makanannya yang sedap dan pelbagi pilihan,” jelas Han Byul yang kini popular dengan tagline nampak bintang ingat saya.
Dalam pada itu, Han Byul yang menggunakan tagline tersebut mengakui itulah bahasa Melayu pertama yang dipelajari dan diingati sehingga kini.
“Selepas saya berada di Malaysia, saya makin jatuh cinta dengan suasana di sini. Saya ada terdengar tentang pulau yang indah. Selain Kuala Lumpur, saya teringin mahu pergi ke negeri-negeri lain yang difahamkan sangat meriah dan indah.
“Lebih-lebih lagi, saya sangat suka dengan kemesraan orang Malaysia yang sangat peramah dan saling bantu-membantu. Kalau cakap pasal makanan, sudah tentu saya paling suka laksa. Namun, jika saya berpeluang untuk belajar masak, saya ingin belajar cara masak rendang ayam, ada sesiapa boleh tolong ajar,” katanya.
Acapkali mengatakan mahu terus tinggal di Malaysia, Han Byul tidak menolak kebarangkalian jodohnya mungkin dari gadis tempatan.
“Ada ke orang nak melamar saya? Jika benar orang nak lamar saya sebagai suami atau kekasih, saya tidaklah semudah untuk menerimanya. Namun, ia tergantung siapakah orang itu. Soal jodoh ni agak berat juga,” ujarnya.
Selain meminati makanan Malaysia, Han Byul mengakui teringin mencuba makan durian.
“Banyak betul orang tanya saya tentang durian. Setakat ini saya masih belum cuba memakannya. Tapi saya tidak menolak untuk rasa. Nak tahu juga sebab kenapa Durian sering saja menjadi topik bualan.
“Saya sudah tentu akan merindui semuanya tentang Malaysia apabila saya pulang ke Seoul nanti. Saya ada pengalaman mencuba baju tradisional Melayu. Ianya sangat cantik dan terkejut apabila ia sangat selesa dipakai walaupun sekali pandang nampak tidak selesa.
“Walaupun ramai lelaki mengatakan wanita Korea cantik dan seksi, tapi saya merasakan wanita Malaysia juga cantik dan menawan,” katanya.