Artikel mengenai penyanyi dan Komposer terkenal Hazami yang mencipta lagu untuk tiga artis Korea mendapat respon positif peminat terutama sekali peminat tegar drama Korea dan peminat muzik K-POP di Malaysia.
Malah, identiti trio Korea itu sedang dikenal pasti sehinggakan ada yang membuat spekulasi artis yang menyanyikan lagu ciptaan pelatun lagu Tekad ini adalah Triple H. Difahamkan, Triple H yang dianggotai HyunA, Hui dan E’Dwan sepatutnya dijadualkan hadir ke Malaysia pada 15 Julai lalu atas tujuan konsert tetapi ianya terpaksa ditangguhkan kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.
Sementara menunggu tarikh baru, peminat membuat spekulasi bahawa kebarangkalian 3 artis yang dimaksudkan Hazami itu adalah Triple H. Malah, pihak pengurusan Hazami iaitu Cloudworks Entertainment telah memberi bayangan bahawa pangkal nama trio tersebut sama dengan Hazami.
Untuk mengesahkan hal ini, pengasas Cloudworks Entertainment iaitu Aszuad Zakaria telah memberi penjelasan.
“Memang benar artis Korea atau K-POP yang dimaksudkan itu adalah Trio yang bermula dengan pangkal nama H. Tapi kami masih belum boleh mengesahkan spekulasi nama artis yang disebut-sebut itu. Bagaimanapun, pihak Hazami akan umum secara rasmi apabila segalanya sudah siap nanti,” kata Aszuad Zakaria.
Sementara itu, memandangkan isu remake drama Coffee Prince masih lagi menjadi bualan, peminat juga mencadangkan agar Hazami dapat mencipta lagu OST untuk drama berkenaan. Selain menyukai jalan cerita drama tersebut, Coffee Prince lakonan Goo Yong dan Yoo Eun Hye turut popular dengan lagu OST yang sangat romantis. Album OST Coffee Prince original menggandungi 48 buah lagu.
Cadangan turut dibuat agar lagu yang dicipta Hazami untuk trio Korea itu diselitkan sebagai salah satu lagu OST Remake Coffee Prince sekaligus menjadikan artis berkenaan sebagai pelakon undangan drama yang bakal diarahkan oleh Michael Ang dan disiarkan di ASTRO RIA November nanti.
“Tentang OST Remake Coffee Prince, Kami boleh mempertimbangkan cadangan tersebut asalkan kena pada tempat dan masanya. Lagipun, bukan kami yang membuat keputusan sebaliknya pihak ASTRO dan Michael yang lebih tahu lagu yang sesuai dengan drama berkenaan,” jelas Pengasas Cloudworks Entertainment.