Tanpa produser dan lagu yang hebat, seseorang penyanyi tersebut tidak mungkin mampu mempunyai peminat yang ramai. Oleh itu, kejayaan bintang K-POP seperti BTS, EXO dan Super Junior semestinya hebat bukan saja personaliti yang dimiliki ahli kumpulan tersebut tetapi lagu yang dinyanyikan turut sama menarik dan sedap didengar.
Terbaru, EH! KOREA BUZZ dimaklumkan bahawa seorang produser hebat di Korea sedang mencari bakat baru di rantau Asia Tenggara. Menurut sumber dari Kota Seoul, produser berkenaan banyak menghasilkan lagu untuk kumpulan BTS, EXO, Super Junior, Taeyeon dan Tiffany dari Girls Generation dan otai K-Pop iaitu Shinwa. Malah produser ini juga pernah mencipta dan menerbitkan lagu untuk artis dari barat.
Bagi mencari kelainan untuk projek terbaru itu, produser ini cuba menukar selera dengan mencari bakat di Asia Tenggara. Difahamkan ketika ini, dia sudah berminat dengan seorang gadis yang suara dan nyanyian seperti Yuna. Dengarnya, gadis tersebut dari Borneo. Bagaimanapun, produser ini tidak mahu mencari penyanyi profesional sebaliknya mahu mencari penyanyi amatur saja. Mereka juga akan bergabung dengan penyanyi K-POP kelahiran Malaysia untuk misi ini.
Dalam proses pencarian ini, produser berkenaan bakal berkolaborasi dengan TOP Star dari Korea yang ketika ini sibuk menjadi DJ. Video mengenai hasrat mereka sudah pun disiarkan di laman youtube peribadi milik personaliti popular tersebut. Bagaimanapun, ia masih lagi dalam bentuk bayangan saja. Namun, sesiapa yang terpilih akan dilatih sepenuhnya oleh kedua-dua ikon hebat dari Korea ini.
Untuk pencarian bakat berkenaan, mereka akan menonton video-video nyanyian yang disiarkan di media sosial. Difahamkan, mereka akan lebih fokus mencari bakat di Malaysia memandangkan mereka turut kagum dengan bakat penyanyi antarabangsa dari Malaysia iaitu Yuna.
Pengumuman rasmi mengenai pencarian ini bakal diumukan kelak. Oleh itu, kepada penyanyi yang berminat untuk mendapat didikan dari produser hebat ini, rajin-rajinlah upload video nyanyian anda di laman sosial seperti youtube dan instagram. Siapa tahu, apabila ia diumumkan nanti anda sudah bersedia dan mungkin terpilih. Betul tak?
Seandainya anda kenal ikon-ikon yang dimaksudkan tersebut, anda juga boleh mula tag selebriti berkenaan. Selamat mencuba!