Anas, Pemandu |
Senyuman wanita yang manis mudah membuatkan jantung saya berdegup-degup! Disebabkan sifat semulajadi wanita yang lembut, ayu dan manis, senyuman mereka sememangnya sangat menawan. Malah, saya pernah jatuh cinta terhadap seseorang selepas melihatnya tersenyum. Ketika itu, kami bersama-sama menyertai aktiviti perkhemahan. Pertama kali bertentangan mata, si dia melemparkan senyuman. Bagaikan dipaku, saya terkedu seketika. Hati terasa bagaikan dipanah! Semenjak pertemuan itu, saya mula mengenalinya dengan lebih mendalam. Akhirnya, kami menjalin hubungan. Itulah bahayanya senyuman wanita kerana berupaya membuahkan perasaan cinta! Haha!
Fizi, Jurutera Audio |
Saya sering terjebak dalam ‘love at first sight’ disebabkan paras rupa wanita yang cantik. Tidak semestinya si dia perlu memiliki darah campuran untuk kelihatan menawan. Solekan tipis yang natural dan kulit wajah yang bersih juga memadai untuk dikategorikan sebagai cantik. Tetapi, jika wanita itu memang cantik secara semulajadi walaupun tanpa solekan, ia adalah bonus ekstra! Namun, tidak semua wanita jelita memiliki personaliti yang menarik. Ada sesetengah daripada mereka hanyalah bimbo! Jadi, biarlah cantik rupa dan sikap juga bijak. Paling membuatkan saya lebih mudah jatuh cinta, jika si dia wanita yang ‘selamba’ dan tidak ‘control cun’!
Tharveen, Doktor |
Dari mata, turun ke hati. I believe that aphorism! Mata wanita yang cantik memang sukar untuk dicari. Ini kerana kebanyakan wanita sekarang suka memakai maskara, pembayang mata dan penggaris mata untuk menonjolkan mata yang cantik. Pendek kata, solekan hanya mengaburi mata yang memandangnya daripada melihat kecantikan asli perempuan. Tetapi, sesekali terpandang si dia yang memiliki bulu mata lebat dan warna anak mata yang begitu indah sekali, pasti tidak keruan saya dibuatnya! Yang nyata, si dia tidak bersolek pun. Pernah juga ‘insiden’ mata yang cantik ini berlaku dalam hidup. Dia yang merupakan junior di universiti mempunyai sepasang mata galak yang menawan! Tetapi sayang, hatinya sudah dimiliki. I’ve missed it, really! Haha!
Hafiz, Pengurus |
Selain fizikal, penampilan wanita antara perkara yang boleh membuatkan saya mudah jatuh cinta. Melihatkan gaya mereka berpakaian, cara bertutur juga pembawakan diri mereka di kalangan orang ramai adalah aspek yang saya lihat dahulu. Saya suka melihat wanita yang berpakaian ringkas seperti celana denim dipadankan dengan kemeja atau kemaja T. Biarpun ringkas, namun gaya itu membuatkan mereka kelihatan sophisticated. Manakala memerhati bagaimana dia bertutur pula sudah cukup untuk menjelaskan latar belakangnya termasuk tahap pendidikan, keluarga juga ‘sedikit’ personaliti. Kadang kala, melihat wanita memakai pakaian pejabat yang ringkas juga membuatkan saya cair!
Shafizan, Pembaca Berita |
Wanita yang bijak adalah wanita yang seksi! Bukan bermakna si dia perlu mempunyai sejarah ‘pelajar cemerlang’ tetapi tahu tentang kerja-kerja yang dilakukannya, peka dengan isu semasa, bijak menyelesaikan masalah dan matang. Contohnya, jika si dia sedang membuat persembahan kerja dalam mesyuararat, saya suka melihat wanita yang fasih dan lancar dalam percakapannya, tangkas menjawab setiap pertanyaan dan bahasa tubuh yang begitu meyakinkan. Mereka yang bijak juga tidak mudah melatah jika berdepan sebarang masalah. Sebaliknya, mereka akan duduk diam seketika dan memikirkan cara terbaik untuk menanganinya. I find it so attractive!
Ifwan, Wartawan |
Aduhai, boleh gugur jantung saya kalau melihat wanita tahu beradab sopan di hadapan orang tua! Tidak tahu mana silapnya, sifat ketimuran ini semakin sukar dilihat di kalangan wanita muda masa kini. Adab sopan yang dimaksudkan termasuk salam dan cium tangan orang tua, tunduk ketika berjalan di hadapan tetamu, pandai membawa diri dan menang tangan di dapur tanpa disuruh. Tetapi, biarlah ‘natural’ dan bukan dibuat-buat. Saya lebih senang jika mereka selesa menjadi diri sendiri. Memandangkan kedua-dua ibu bapa saya menetap di Kedah, saya ‘menguji’ dengan membawa mereka bertemu nenek di Dengkil iaitu berdekatan tempat saya bekerja. Hah, masa itulah kita boleh melihat bagaimana si dia bereaksi bersama orang tua! Haha!
Ozaery, Pegawai Pelancongan |
Kenapa wanita dilihat lebih kerap memakai baju kurung hanya ketika menjelangnya Hari Raya? Saya sering tertanya-tanya kerana wanita yang berbaju kurung bukan sahaja cantik, malah sangat ayu dan sopan! Mungkin saya jenis lelaki yang mempunyai traditional minded tetapi baju kurung sebenarnya membuatkan mana-mana wanita pun kelihatan lebih anggun. Apatah lagi jika dipadankan dengan kasut tumit tinggi…wow, hati saya pasti berdebar-debar! Lihat sahaja penyanyi, Ana Raffali yang tidak segan berbaju kurung walau ketika beraksi di pentas. Sambil memegang gitar dan menyanyi, Ana adalah contoh wanita Timur yang sangat menawan. Paling menarik, jika si gadis berbaju kurung mendandan rambutnya ke sisi dengan kemas. Ah, bisa membuatkan saya terpaku!
Fakur, Eksekutif Pemasaran |
Sebaik menonton filem Transformers: Dark of the Moon, terdetik dalam hati saya, “Oh, alangkah seronoknya jika hidup ditemani wanita yang memiliki potongan badan seperti Rosie Huntington-Whiteley!” Bukan demanding tetapi wanita yang bertubuh cantik bukan sahaja kelihatan menarik tetapi ini juga menandakan mereka pandai menguruskan diri. Mana tidaknya, sana sini restoran makanan segera boleh ditemui. Bimbang nanti wanita yang didampingi turut ‘terjebak’ menjadi mangsa makanan berlemak itu. Sungguh tidak menyihatkan! Jadi, wanita dengan potongan badan yang kurus, tinggi dan menggiurkan menjadi perkara yang boleh membuatkan saya jatuh cinta dengan begitu cepat!
Chee Hong, Wartawan |
Mungkin disebabkan trend kecantikan dan pengaruh selebriti Barat, lebih ramai wanita Asia kini lebih gemar mewarnakan dan memotong rambut pendek. Bagi saya, penukaran gaya itu hanya ‘menghilangkan’ kecantikan asli mereka! Tidakkah cantik sekadar membiarkan rambut hitam yang ikal dan sihat melepas bahu tanpa perlu mengubahnya? Bukan sahaja menawan, malah warna rambut asal yang panjang sekali gus mampu menunjukkan kecantikan wanita Asia yang dimiliki mereka secara semulajadi. Sedangkan golongan gadis berambut perang di Barat pun beriya-iya mahu menukar warna rambut kepada hitam. Lihat saja penyanyi, Camelia. Biarpun dia dikenali dengan gaya high fashion, tetapi masih menonjolkan ciri ketimurannya. She’s so beautiful!
Akmal, Pekerja Swasta |
Entah mengapa, saya pantang melihat wanita berkaca mata, pasti mata ingin terus melihatnya. Apatah lagi jika wanita itu mengenakan solekan mata yang natural dan bijak bergaya, saya akan terus, terus dan terus melihatnya. Biarpun hingga dia berasa tidak selesa dengan renungan saya! Haha! Wanita yang berkaca mata membuatkan mata lebih cantik dan secara tidak langsung, menjadikan penampilan mereka lebih seksi. Selain itu, kaca mata juga membuatkan mereka kelihatan smart! Tetapi bukanlah seperti nerdy, asalkan si dia bijak bergaya selain pandai mendandan rambut dengan sedikit tresses, I can go nuts!