Jangan terkejut jika pada zaman serba moden ini masih ada lagi pertemuan jodoh diatur keluarga mahupun desakan rakan-rakan. Tidak kurang juga yang menjadikan laman sesawang seperti facebook sebagai medium mencari cinta. Namun bingung apa yang harus menjadi topik bual pada pertemuan pertama? Masakan tidak anda belum tahu bagaimana peribadi orangnya bukan? EH! membawa anda tip berguna dan jadikan idea ini sebagai panduan.
PERMULAAN
Seperti biasa kala pertemuan pertama bermula dengan senyuman, ucap helo dan bertanya khabar. Untuk menambahkan lagi rasa mesra dalam bertanya khabar tadi tidak salah menyelit tentang keadaan trafik atau dari mana pasangan date anda datang tadi. Perbualan kosong begini mampu menjadi permulaan yang baik dan jika berborak tentang trafik tadi usah pula anda merungut sehingga merimaskan pasangan.
BERKENALAN
Langkah seterusnya anda boleh meneruskan perbualan dengan cara perkenalan anda diatur. Jika oleh rakan-rakan tidak salah rasanya berbual sedikit bagaimana anda dan rakan yang mempertemukan anda pada pertemuan pertama ini. Dari sini idea perbualan akan berkembang sehingga melibatkan hal-hal lain. Jika anda bertemu di facebook cerita boleh bermula dengan alasan mengapa anda berminat untuk menjadi teman di laman sesawang tersebut.
KERJA
Setelah semua aktiviti pemanasan komunikasi tadi berakhir, inilah masanya untuk berbual tentang anda dan pasangan. Tanyakan apa yang dilakukan dalam kerjaya dan menjadi bonus jika anda tidak punya apapun idea tentang kerjaya pasangan jadi anda boleh memanjangkan lagi tempoh perbualan. Prospek kerjaya, syarikat dan suasana kerja antara isu yang boleh dibangkitkan namun usah sekali bertanya tentang gaji pula.
MINAT
Selalunya jika anda berkenalan di facebook kemungkinan anda dan dia punya chemistry kerana minat yang sama. Selalunya sama ada minat terhadap seni pop, muzik indie, fesyen atau perniagaan online. Kongsi minat ini sebagai topik bual utama dan selalunya topik berkaitan minat inilah yang akan menjadi titik penting sama ada anda boleh ‘masuk’ bersama atau tidak. Namun usah risau jika minat anda bertentangan kerana yang pasti boleh saja anda bertanya lanjut tentang minat pasangan anda tadi.
KELUARGA
Perbualan seterusnya boleh berbangkit perihal keluarga. Berkongsi cerita tentang adik-beradik dan ibu bapa. Dalam pada ini anda boleh menyelitkan pengalaman bercuti, gelagat anak-anak buah, aktiviti yang kerap dilakukan bersama keluarga. Dari sini barulah si dia boleh melihat sama ada anda ini seorang yang family type atau sebaliknya.
PERHUBUNGAN
Setelah semua perkara tersebut anda bolehlah berkongsi tentang status dan selitkan sedikit tentang hubungan yang lalu. Cuma harus diingat usah bercerita terlalu dalam kerana pasti saja pasangan anda tidak selesa untuk mendengar kesemuanya. Takut nanti sesi pertemuan pertama itu nanti jadi sesi luahan hati pula. Cukup sekadar berkongsi berapa lama perhubungan yang lepas serta berkongsi terhadap apa yang anda harap atau rancang untuk perhubungan akan datang.
PENUTUP
Tutup pertemuan anda dengan penuh hormat jika anda harus melangkah awal dan jika pertemuan pertama ini membuat anda selesa terus terang sahaja yang anda berharap akan ada pertemuan kedua dan boleh mengenal pasangan dengan lebih rapat. Jika si dia masih hubungi anda selepas pertemuan pasti itu khabar baik untuk membentuk perhubungan lebih lama.