Mungkin si dia tidak curang di depan mata tetapi dia kini mula menunjukkan tanda-tanda perbuatan itu menerusi laman web sosial terkemuka iaitu Facebook. Apakah yang dilakukan oleh mereka yang menghadapi situasi ini?
Pengakuan #1
Eza, 23 tahun
Kami bercinta sejak zaman sekolah dan sifatnya yang penyayang dan hormat terhadap orang tua menyebabkan hati saya pantas terpikat. Namun, selepas lebih lima tahun kami bercinta, saya mula berasa curiga kerana dia tidak dapat lekang daripada melayari laman Facebook setiap kali berjumpa. Apatah lagi wall si dia kerap dipenuhi komen oleh beberapa pengguna wanita.
Beberapa minggu kemudian, saya cuba untuk login kembali seperti biasa namun gagal. Lantas, saya bertanya kepadanya sama ada si dia menukar kata laluan tetapi dia hanya menjawab, “I never change my password”. Saya sedar, dia tidak jujur menjawab kerana cubaan beberapa kali untuk memasuki akaun Facebook si dia memang tidak berjaya.
Kini, hubungan kami semakin renggang. Insiden ‘terkantoi’ perbualan si dia dengan seorang gadis menerusi Facebook Chat pada beberapa bulan lalu juga menambahkan lagi kekecewaan. Sejak daripada itu, saya hanya mampu mendiamkan diri dengan hubungan tidak lagi kelihatan seperti dulu.
Pengakuan #2
Abong, 27 tahun
Kami mula bercinta kira-kira tiga tahun lalu selepas si dia mendapatkan nombor telefon saya menerusi seorang rakan. Rupa-rupanya si dia yang merupakan rakan kelas di universiti menaruh hati terhadap saya selepas beberapa kali perbualan kami berterusan melalui telefon. Keikhlasannya membuatkan saya turut memendam perasaan sama lalu kami mula mencipta hubungan.
Namun, kira-kira sebulan kemudian, dia mula menunjukkan sifat yang mengongkong. Si dia sering meluahkan rasa cemburu dan tidak tidak puas hati terutama ketika saya keluar berjumpa rakan-rakan. Hingga suatu ketika, saya memberikan kata laluan Facebook saya untuk si dia memberikan mesej penting kepada rakan untuk dihubungi. Rupa-rupanya, kata laluan itu dijadikan tiket mudah untuknya memeriksa segala maklumat yang terkandung dalam akaun Facebook saya.
Sejak insiden itu, dia mula menyindir dengan dialog antara saya bersama beberapa rakan perempuan menerusi mesej di dalam inbox. Bagi saya, perbualan itu sekadar untuk bertanyakan khabar namun dia mengambil hal itu dengan terlalu serius akibat didorong rasa cemburu buta.
Perbuatannya yang kerap menyindir hal sama membuatkan saya mula berasa rimas dan bengang. Pergaduhan tercetus hampir setiap hari. Akhirnya, hubungan kami terhenti setakat itu dan kini kami mengambil haluan masing-masing.
Pengakuan #3
Ridzuan, 26 tahun
Wajahnya yang kelihatan serius setiap masa membuatkan hati saya tertarik untuk mengenalinya dengan dekat sewaktu minggu orientasi kolej berlangsung. Sifat saya yang gemar mengusik membuatkan si dia turut terpaut dan kami menjalin hubungan cinta. Tetapi, perasaan cemburu yang terlalu kuat membuatkan saya mula mengongkongnya.
Sehingga pada suatu ketika, ketika kami sedang melayari laman web menerusi komputer riba secara bersama, si dia mahu memeriksa e-mel. Saya perhatikan dengan tajam sewaktu dia menaipkan kata laluannya dan nah, saya berjaya mendapatkan salah satu personal password miliknya!
Sejak itu, saya mula membaca e-melnya hampir setiap hari kerana bimbang jika si dia saling berhubung dengan lelaki lain. Ada juga saya terbaca e-mel kiriman seorang rakan lelakinya yang kelihatan seperti menaruh perasaan terhadapnya. Rasa cemburu dirasakan semakin kuat biarpun si dia tidak memberikan respon yang berbalik terhadap lelaki berkenaan.
Kini, sejak Facebook menguasai trend dalam Internet, saya memeriksa pula wall dan gambar di dalam akaunnya pada setiap hari, selang beberapa jam. Niat saya kini adalah untuk mendapatkan kata laluan Facebook miliknya, walau apapun yang terjadi. Jika saya terpaksa, saya akan mengupah sesiapa yang mahir dalam menggodam Facebook kerana saya terlalu mencintainya!