Ikuti pengalaman #EHxperience: Penulis gaya hidup, Farah Ain selama 2 hari 1 malam di Hilton Petaling Jaya.
Bayangkan diri anda melangkah masuk ke sebuah ruang di Hilton Petaling Jaya yang menyambut dengan senyuman, aroma segar dan suasana mewah yang tenang di tengah hiruk-pikuk bandar.
Di sinilah terletaknya mercu tanda hospitaliti moden yang terus memikat hati pengunjung sejak berdekad lamanya. Dikenali kerana layanan bertaraf dunia dan ruang yang elegan, hotel ini menawarkan pengalaman percutian bandar yang sempurna yang memadukan keselesaan, cita rasa dan gaya hidup moden.
Penginapan dua hari satu malam di sini membuka lembaran kisah baharu tentang kemewahan moden yang terserlah melalui rekaan kontemporari, diimbangi dengan suasana tenang yang menenangkan jiwa. Dari bilik luas dengan pemandangan bandar yang menenangkan hingga ke hidangan Jepun mewah di restoran ikonik Genji, setiap detik terasa dirancang untuk memanjakan deria dan mencipta memori yang kekal lama selepas anda pulang.
Inilah #EHxperience sebenar, Hilton Petaling Jaya, kemewahan dan ketenangan bertemu dalam satu destinasi yang sempurna.
Menginap di Twin Premium Executive Room
Saya berpeluang menginap di Twin Premium Executive Room, bilik seluas 32 meter persegi (344 kaki persegi) yang terletak di tingkat atas hotel dengan pemandangan bandar yang menenangkan. Ruangannya luas, moden dan direka dengan gaya kontemporari yang menggabungkan unsur semula jadi untuk mencipta suasana damai serta menyegarkan. Pencahayaan semula jadi daripada tingkap besar dari lantai ke siling memberikan suasana terang dan ceria, menjadikan pengalaman menginap lebih menyenangkan.
Bilik ini dilengkapi dengan katil twin super-single yang empuk, meja kerja khusus, akses WiFi percuma, serta Smart TV dengan pelbagai saluran hiburan. Tetamu turut menikmati kemudahan Executive Lounge Access, yang membolehkan anda menjamu sarapan percuma dan menikmati sajian ringan sepanjang hari dalam suasana eksklusif dan tenang.
Bilik air marmar yang elegan pula menampilkan rain shower yang menyegarkan dan bathtub untuk berendam dengan selesa, lengkap dengan cermin solek bercahaya serta mandian mewah Crabtree & Evelyn. Kemudahan tambahan seperti pembuat kopi dan teh, jubah mandi, selipar bilik, peti keselamatan, serta mini bar menambahkan lagi keselesaan sepanjang penginapan. Sama ada anda datang untuk berehat atau bekerja, bilik ini menawarkan keseimbangan sempurna antara gaya dan fungsi.

Makan Malam di Genji
Malamnya, saya menikmati Genji Omakase Kaiseki Course, hidangan Jepun istimewa hasil sentuhan kreatif chef pakar Hilton. Genji Japanese Restaurant, yang sudah menjadi ikon di Hilton Petaling Jaya sejak bertahun-tahun, menampilkan suasana baharu seperti rumah tradisional Jepun dengan elemen kayu semula jadi dan pencahayaan hangat yang menenangkan.
Restoran ini mempunyai 14 hingga 20 meja makan, termasuk tiga meja besar untuk kumpulan dan tujuh bilik peribadi (private room) yang menjadi pilihan tetap tetamu kenamaan. Setiap bilik peribadi boleh memuatkan antara empat hingga enam orang, sesuai untuk suasana intim dan eksklusif. Antara tetamu ternama yang pernah menjamu selera di sini termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, serta Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Dahulunya restoran ini terkenal dengan bufet Jepun yang melimpah, namun kini ia beralih kepada hidangan ala carte dan set bento untuk memberi pengalaman makan yang lebih autentik dan berkualiti.
Saya sempat beramah mesra bersama Chef Suhaimi, pembantu chef deputy yang telah berkhidmat lebih 15 tahun di Genji. Beliau berkongsi tentang falsafah masakan Jepun yang mengutamakan kesegaran bahan dan keseimbangan rasa dalam setiap hidangan.
Makan malam saya dimulakan dengan starter Nissin Kazunoko Salad dengan Wafu Dressing, pembuka selera dengan rasa segar dan lembut. Hidangan kedua, Dobin Mushi, sup Jepun tradisional yang dihidang dalam teko kecil, hadir dengan aroma lautan yang menggoda. Diikuti oleh Otsukuri Miwaku no Sashimi, disajikan dalam mangkuk ais berbentuk oktagon yang memukau. Dua hirisan Kanpachi Amberjack dan dua hirisan Maguro begitu segar hingga terasa seolah-olah baru tiba dari lautan.
Seterusnya, Age Hassun Tsubogai Shuto Miso Ae Tempura Chili Mayo menghadirkan gabungan tekstur rangup dan lembut yang harmoni. Hidangan utama, Beef Tenderloin with Chef’s Special Sauce, melengkapkan perjalanan rasa dengan daging lembut yang dimasak sempurna. Akhirnya, pencuci mulut Kudamono Matcha Ice Cream Mochi Fruit Mocktail menjadi penutup manis gabungan ais krim teh hijau, mochi lembut, dan buah segar yang menyegarkan.
Sarapan di Paya Serai
Keesokan paginya, saya menikmati sarapan di Paya Serai, restoran yang terkenal dengan pilihan bufetnya yang luas. Ruang makan yang cerah dan selesa melengkapkan suasana pagi yang damai.
Di sini, pengunjung boleh menikmati pelbagai hidangan tempatan di bawah tema “Santapan Malaysia” seperti nasi lemak, cekodok pisang, cucur sayur ala India, serta puding roti dengan sos vanila yang harum.
Bahagian sup pula menawarkan soto sayur, lontong vegetarian, dan aneka pilihan mee seperti kuey teow, mee kuning, mee hoon, bersama pelengkap seperti kobis bulat, cendawan hitam, sawi, taugeh dan bebola ikan.
Bagi penggemar citarasa Barat, terdapat sosej daging dan ayam, puff kentang, tartare kentang panggang, serta pasta tumis bawang putih dan minyak zaitun. Setiap sudut bufet terasa seperti jelajah rasa dari dapur ke dapur, dihidang dengan kualiti dan kepelbagaian yang memuaskan.
Baca: Hilton Melancarkan Hotel Terbesar Di Rantau Asia Pasifik
