Tahukah anda 19 adalah nombor yang penting buat rumah fesyen Chanel? Ia adalah satu biasan kepada rekaan yang terkenal, dan juga merupakan satu tahun kelahiran. Bersempena dengan pementasan ready-to-wear untuk musim luruh/sejuk 2019/20, Karl Lagerfeld dan Virginie Viard telah mempersembahkan beg tangan terbaharu, CHANEL 19. Pertama direka pada 1955 oleh Mademoiselle Chanel, beg tangan ini memberi penghormatan kepada rekaan terdahulu, iaitu beg tangan 2.55 untuk edisi tahun ini.
Walaupun beg tangan CHANEL 19 adalah biasan sebenar esen dan kod rumah fesyen ikonik Perancis itu, ia telah diterjemahkan dengan attitude lebih moden di atas pentas peragaan. Hadir dalam tiga saiz berbeza dengan material kulit mahupun tweed, beg tangan Chanel 19 ini boleh digenggam pada sisi badan lebih relaks atau dijadikan sebagai beg pinggang yang menggunakan rantai metal perak, emas dan ruthenium yang turut disulami dengan kulit. Tidak dilupakan kunci beg dwi-C ikonik bersaiz XL yang pasti kelihatan jelas ketika digayakan.
Beg tangan bukan sahaja satu aksesori fesyen utama pada gerobok wanita. Hari ini sebuah beg tangan adalah attitude peribadi yang melaungkan sisi praktikal, natural dan elegan. Dijinjing klasik atau crossbody relaks, beg tangan CHANEL 19 ini hadir dalam variasi ton kulit timeless seperti hitam, beige dan putih atau biru firus, biru, hijau, merah tua atau merah jambu gelap yang lebih bold. Material tweed pula menggunakan lapan variasi warna berbeza yang boleh dipadu padan bersama apa jua gaya dan stail.