Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage
Tidak dinafikan manusia mudah mengalami stres jika mempunyai bebanan tekanan pekerjaan dan ditambah lagi dengan masalah di rumah atau lain-lain. Stres berlaku apabila manusia terlalu penat dan tiada rehat termasuklah minda yang sentiasa bekerja tidak kira masa. Ianya membuatkan diri seseorang itu menjadi murung, mudah gelisah, trauma, berfikiran negatif, pemarah, dan banyak lagi.
Setiap orang itu boleh mengawal stres jika tahu caranya yang betul agar tidak menjejaskan kesihatan dalaman seperti migrain, insomnia, sakit jantung, dan tekanan perasaan yang kemungkinan boleh menjadi punca kepada kes mencederakan diri. Sememangnya stres itu boleh ditangani dengan pelbagai cara yang betul.
Jaga makan
Tahap stres dan diet pemakanan sangat berkait rapat. Malangnya tatkala mengalami stres, ramai yang tidak menjaga pola pemakanan yang sihat dengan secara drastiknya kerap mengambil makanan segera dan kurang makan. Banyakkan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran kerana ianya baik untuk membantu mengawal stres. Jenis ikan yang kaya dengan omega-3 juga mampu mengurangkan simptom stres pada seseorang.
Minum teh
Teh mengandungi separuh kafein yang terdapat di dalam kopi dan ianya kaya dengan antioksidan serta asid amino yang baik dalam menenangkan serta mengawal tahap stres.
Senaman
Berjalan seketika di pejabat mampu menghilangkan stres dengan cepat kala penat dengan tekanan kerja. Ianya membantu saluran darah dalam tubuh berjalan lancar serta melepaskan endorfin dan mampu mengawal mood anda secara drastik.
Tidur cukup
Semua orang tahu bahawa stres menyebabkan kurang tidur. Malah, kurang tidur juga boleh menyebabkan stres. Putaran ini menyebabkan otak dan tubuh badan menjadi letih dan semakin teruk jika tidak dkawal. Pastikan anda mendapatkan tidur sehari tujuh hingga lapan jam.
Tarik nafas
Mungkin bagi kita ayat yang mengatakan ‘tarik nafas’ adalah sesuatu yang cliché tetapi hakikatnya ia sebenarnya sangat membantu kala stres hadir dalam diri seseorang. Duduk pada postur menegak, letakkan kedua-dua belah kaki ke atas lantai, serta kedua-kedua belah tangan di atas riba dan tarik nafas sedalam-dalamnya dan secara perlahan-lahan hembus. Dengan menarik nafas dalam memberikan oksigen yang cukup pada dalam darah, menyeimbangkan tubuh badan dan menenangkan fikiran.