September, bulan yang membuat jantung Daiyan Trisha berdegup kencang, menanti tibanya detik untuk penggemarnya menikmati buah tangan terbarunya, ‘Lovelorn’. EH! menyelami hati wanita berusia tiga dekad ini dan ‘berhubung’ dengan rasa terujanya di sebalik cerita ‘kedukaan cinta’.
Saya terlewat lima minit dari waktu dijanjikan dek singgah membeli buah tangan untuk minum petang bersama Daiyan. Saya cek telefon, paparan skrin sudah menunjukkan jam 4.05 petang. Saya menekan loceng kediaman Daiyan. Saat pintu pagar dibuka saya nampak dia sudah menunggu di muka pintu, ringkas dalam persalinan coklat cair.
“Eh you bawa apa ni?”, soalnya saat saya menghulurkan bungkusan makanan. “Kata nak tea time,” balas saya pantas. Daiyan meminta pembantu rumahnya menghidangkan apa yang saya bawa ke dalam piring-piring kecil. Kami berdua terus duduk di meja makan. Saya terus meletakkan telefon dan segera mengeluarkan buku nota. Tak mahu berlengah-lengah, kami terus berbual ringan memanas bicara.
Daiyan kembali menghiasi cover EH! setahun selepas dia duduk di kerusi pengarah kreatif. Kali ini berpadanan dengan bintang gandingan ‘W’, Hun Haqeem. Chemistry keduanya membuatkan penggambaran kami bulan lalu terasa mudah, jauh sekali berasa stres. Kedua-duanya fotogenik, mesra kamera malah sudah begitu sinonim dengan cara EH! bekerja. Perhubungan kami serupa teman yang selalu lepak bersama biar hakikatnya cuma helo hai di pelbagai acara lazimnya. Tema ‘connectivity’ yang disimbolkan pada imej-imej yang terakam saya panjangkan dalam temubual melangkaui 60 minit bersama pelantun ‘My Home Is In Your Arms’ ini.
Saya tahu saat dan ketika ini, Daiyan sangat teruja dengan album yang akan dirilis tak lama lagi. Apa yang boleh dicanangkan tentang naskhah terbaru ini?
Seperti yang sudah dikongsikan album ini Lovelorn judulnya. Bakal dirilis pada 4 Oktober dan ada 11 trak kesemuanya termasuk satu feature track yang akan saya kongsikan beberapa hari sebelum album ini dilancarkan. Ada banyak kejutan yang sudah disusun menjelang detik pelancaran album ini.
Apa yang boleh saya katakan ini adalah my best body of work, yang mengumpul my whole state of mind dalam beberapa tahun ini. Kesemua perjalanan perhubungan dan kisah cinta saya terhimpun dalam satu album.
Bagi saya bila album ini dirilis nanti saya dah tak berhutang apa-apa dengan diri saya. Semuanya sudah diluahkan. Saya banyak menulis lagu back in 2019 dan sewaktu pandemik I went through breakup dan tak semua karya pada waktu itu dirilis. Cuma ‘Penat’ dilancarkan segera kerana saya dan Kuizz sependapat masa itu adalah waktu yang tepat untuk orang mendengar ‘Penat’. Single kedua dari album ini yang akan dilancarkan sebaik album dirilis merupakan lagu terakhir yang saya tulis dan rakamkan untuk Lovelorn.
Breakup dengan siapa tu?
Hahaha….. I pukul you kang. (Daiyan berjenaka dan terus ketawa).
Kesemuanya lagu Inggeris atau ada lagu Melayu juga?
Ada sembilan lagu Inggeris dan dua lagu Melayu. My feature track tu lagu Melayu, digarap bersama rakan duet saya sendiri. Produsernya Kuizz dan ada dua buah lagu diterbitkan bersama Raja Nazrin Syah.
Jika ada satu perkataan yang boleh menyimpulkan tentang album Lovelorn ni, apakah ia?
Hmm…. (Daiyan berfikir). Orang selalu kata setiap penyanyi akan ada satu heartbreak album, and this is mine. Saya rasa album ini menghimpun dan menyatukan semua pengalaman perhubungan saya sebelum ini. Tak semua peristiwa patah hati itu ternoktah begitu saja, ada yang berubah menjadi kawan. Tak semua lagu bercerita tentang kekecewaan ada juga yang membawa kisah gembira.
Album ini berbicara tentang perhubungan saya sebagai orang dewasa. I just proud with this album and like I said, bila album ni keluar, saya dah tak ada hutang apa-apa dengan diri saya. Saya ambil masa untuk siapkan dan bila album ini dirilis saya lega.
Mengapa Daiyan rasa ini adalah masa yang sesuai?
Saya rasa ia memang dah tertulis. Saya tak merancang tapi saya rasa inilah waktunya. Apa yang terjadi tahun lepas, I mean ge**cide telah merubah banyak benda. Tahun lalu saya juga terlalu sibuk dengan berlakon dan perhatian saya juga banyak terarah kepada fesyen. Jadi bila blockout dikempenkan, saya berhati-hati dengan tawaran yang datang, saya sangat memilih dan tak mahu bekerja dengan jenama-jenama yang berkait dengan I***el. Bila dihitung-hitung banyak jenama yang saya tak boleh kerja, banyak endorsement terpaksa dilepaskan. Dan hikmahnya, ia membuka ruang dan memberi saya lebih masa untuk memberi fokus kepada muzik.
Saya baca di media sosial, Daiyan ada menyebut gaun kustom Lovelorn dibuat Alia Bastamam. Ada cerita atau ilham istimewa pada rekaan gaun itu?
Eh tak adalah, cuma untuk Lovelorn era saya nak pastikan semuanya saya suka. I want to love everything, dari segi gambar, konsepnya dan benda-benda lain. Sebab itulah saya stail dan direct semuanya. Sebelum ini ada masanya saya kena pertimbangkan pendapat orang lain juga tapi berbeza dengan Lovelorn, semua keputusan di tangan saya. Apa yang peminat lihat, maknanya itu adalah benda yang saya suka. Saya decide semuanya, malah 11 trak pun sebab one plus one equal two.
Akan ada naskhah dalam bentuk fizikal, CD misalnya?
Insya-Allah akan dihasilkan dalam bentuk vinyl. Dan saya sudah bersedia dengan siri visual yang akan dikongsikan sepanjang promosi album ini.
Apa hajat Daiyan yang tak tertunai untuk album ini?
Hmm… sebenarnya saya mahukan kolaborasi antarabangsa untuk album ini namun atas sebab kekangan masa, ia tak tertunai. Rancangan ini mungkin boleh dipanjangkan sebagai bonus track atau single. Perbincangan itu sudah ada namun tak sempat direalisasikan sebelum Oktober.
Saya percaya sebagai penulis dan penyanyi, arkib simpanan Daiyan dipenuhi banyak lagu, tetapi mengapa 11 ini yang terpilih membarisi Lovelorn?
Bagi saya 11 ini sudah cukup cantik alirannya. Jika ditambah atau ditolak, penceritaannya tak secantik yang sudah dihimpunkan ini.
Tahun lalu Daiyan melancarkan ‘Tulisan’ dan tahun ini ‘Lovelorn’, adakah isi dua karya ini saling berkait?
Sebagai pengkarya, semestinya ada persamaan atau hubung kait namun kedua-duanya adalah berbeza. ‘Tulisan’ lebih kepada poetry yang mana subjek menjurus kepada cinta dan kehidupan. Tulisan bercerita tentang kehidupan saya, pandemik, pengalaman saya menunaikan umrah dan bermacam-macam lagi. Berbanding Lovelorn, ia adalah sebuah luahan pengalaman saya tentang cinta. Kalian boleh temui Lovelorn di dalam Tulisan tetapi tidak sebaliknya. Lovelorn completely about love.
Untuk ‘Tulisan’ Daiyan menggunakan bulan sebagai simbol, dan untuk ‘Lovelorn’ era pula Daiyan menggunakan emoji infiniti sebagai simbol taruhan. Adakah ini sesuatu yang dirancang sebagai strategi penjenamaan bagi setiap projek yang Daiyan lancarkan?
Sejujurnya ia bukanlah sesuatu yang saya tetapkan, yang mana kena ada simbol untuk apa-apa projek. Semuanya terjadi secara kebetulan. Dan ia bukanlah satu hal yang besar untuk ada simbol. Saya memang sukakan simbol infiniti, dan saya sendiri sering saja gunakan simbol itu bila meninggalkan komen di mana-mana posting teman-teman.
Bagi saya ia adalah satu maksud ‘forever’ yang mewakili momen, persahabatan mahupun perhubungan. Like, ‘I will remember this forever’. Infiniti adalah satu simbol yang saya gunakan sebagai ingatan untuk diri sendiri, perasaan yang akan saya simpan sampai bila-bila. I think it’s beautiful.
Saya berbicara tentang connectivity menerusi isu September ini, tetapi saya mahu tahu bagaimana Daiyan disconnect dari ‘dunia’. Ya, sebagai seorang yang sibuk dengan kerja, berjumpa ramai orang hampir setiap hari, bagaimana Daiyan menyelitkan masa untuk bersendiri?
Bila terlalu sibuk, back to back dengan kerja, cara saya disconnect adalah dengan mengurung diri di dalam bilik. Saya akan stay in bed seharian, yang tidur pun tanpa pasang alarm. Cara ini membuatkan saya rasa I belong to myself, kerana bila bekerja saya belong to everyone. Macam semalam, saya memang duduk seharian, makan pun di atas katil. I just enjoy my space. This is my bed day!
Masa adalah musuh utama, mencari ruang untuk ‘berhubung’ dengan apa yang kita suka tak selalunya ada. Bagaimana dengan Daiyan kekal rapat dengan apa yang Daiyan suka?
I connect my soul with it. Saya tak tahu sama ada ini saya saja ataupun artis secara khususnya, jika kita tak buat apa yang kita suka, kita akan mati rasanya. Sekarang ni masa yang ada saya memang fokuskan kepada muzik. Sebelum ini saya lebih banyak menulis kerana masa terlalu terhad untuk muzik. Bukan nak kata saya tak connect dengan acting dan fesyen, saya suka kedua-duanya. Berlakon saya hubungkannya dengan jiwa, dan fesyen saya rasa ia sedikit superficial. Ia bersifat sementara dan bergerak laju.
Saya menghargai fesyen menerusi seninya dan ia adalah cara untuk saya represent diri. Bagi saya muzik dan menulis terserap dan bersatu dengan diri saya. Saya lebih menjiwai perhubungan itu. Bila kerap buat fesyen saya mudah berasa penat. I feel great tetapi saya akan berpatah balik pada muzik dan menulis. Saya tak rasa diri saya fesyenista kerana saya hanya menata gaya diri saya seperti mana yang saya mahu, tetapi jiwa saya lebih berat dan cenderung kepada muzik dan menulis.
Bila saya melihat gambar dan video Daiyan bernyanyi di atas pentas baru-baru ini, saya rasa jiwanya lain. Berdiri, pakai seluar, tubuh bersilang gitar dan menyanyi, semangatnya lain. Ia mengingatkan saya mengapa saya memanggil Daiyan untuk penggambaran EH! TOP 20 lebih kurang 10 tahun dulu. Adakah Daiyan juga rasa begitu?
Oh terima kasih atas soalan ini. It’s really good question… (Daiyan terdiam seketika, dan tanpa sedar air matanya mengalir). Oh you made me cry. Cute lah bila you cakap that’s the reason EH! panggil for Top 20. Sembilan sepuluh tahun ada tak? (tanyanya sambil mengesat air mata).
Of course, saya tak nafikan semangatnya lain. Bahkan kawan baik saya, Nazzy pun cakap hal yang sama. Kata dia pada saya, “You did great sebelum ini tapi apa yang aku nampak bila kau atas pentas, kau zahirnya memang macam tu. You were born to do that. Kau seronok lain macam”. Saya gembira bila kawan sendiri cakap begitu kerana memang itu yang saya rasa. Walaupun ke Singapura itu sekadar persembahan biasa dan muncul untuk opening act, gembiranya lain macam. Rasa macam konsert sendiri.
Bila-bila saya dapat peluang untuk perform dan dapat jadi Daiyan Trisha yang itu, saya happy gila. Saya dah bentukkan diri saya dalam pelbagai bentuk, tapi bentuk yang awal itu yakni menyanyi itulah cinta pertama saya. Jadi bukan you saja yang sedar hal itu, orang lain juga. Saya ada peminat yang kenal dan menyokong sejak awal saya bernyanyi, dan mereka sokong apa saja yang saya buat tapi saya tahu apa yang membuatkan mereka suka kepada saya ialah muzik. Kembali bermuzik bukan membuat saya gembira semata malah lebih powerful.
Berapa lama Daiyan meletakkan jangka masa untuk muzik kali ini?
Saya sangat komited dengan muzik untuk tahun ini, dan saya fikir saya tak pernah seserius ini dengan muzik. Full force! Tahun ini saya jarang ke acara-acara fesyen dan memang tak berlakon langsung. Tawaran banyak tapi saya mahu buka ruang untuk muzik. Banyak yang mahu saya rancang dan laksanakan untuk album ini. I want touring, jika mahu jelajah Asia Tenggara biarlah muzik saya mengembara dulu melalui strim dalam talian. Jadi rancangannya kalau boleh mahu touring dalam negara dulu. I want to do musician thing and melihat sejauh mana album ini akan membawa saya. Saya jangka saya akan terus sibuk dengan muzik hingga tahun depan.
Kita berbicara tentang ‘connectivity’, perhubungan dan persahabatan, apa yang Daiyan cari bila berkawan. Apakah nilai yang dicari lebih-lebih lagi bila berkenalan dengan orang baru?
Saya rasa ketika ini kalau saya tak kenal seseorang itu, saya meletakkan dinding yang sangat tinggi. Orang akan merasakan saya seorang yang amatlah tidak welcoming. Saya tidak seramah dulu dengan orang yang tak saya kenali.
Saya seorang yang sangat setia. Jika anda kenal dan berkawan dengan saya bertahun-tahun, anda akan tahu saya seorang sahabat yang setia. Tapi saya juga pernah dikhihianati, dan ruang membuat kawan baru semakin kecil. Susah untuk orang connect dengan saya melainkan mereka menyentuh butang yang tepat. Untuk mengenali dan rapat mudah saja, hanya perlu jujur dan tidak ada agenda tersembunyi. Hanya perlu ikhlas.
Apa yang membuatkan Daiyan mudah hilang percaya kepada seseorang?
By being shady. Apabila seseorang itu shady, saya terus cut. Kelakarnya orang-orang begini tahu dia dah buat semacam. Bagi saya vibes sangat penting, dan saya mahu tenang-tenang sahaja. Saya tak gemar vibes yang tiba-tiba pelik.
Adakah Daiyan seorang yang terbuka dan mudah menerima bantuan dari orang?
Saya rasa saya seorang yang agak mudah menerima bantuan kerana saya juga mudah menghulurkan pertolongan. Saya rasa ia lumrah dalam kehidupan, persahabatan dan perhubungan. Ada banyak yang saya boleh buat untuk orang lain dan sebaliknya. Ini fitrah kitaran hidup. Bila kita saling membantu secara tak langsung hubungan itu semakin erat.
Daiyan suka memendam atau mudah melepaskan?
Kedua-duanya. Saya melepaskan satu-satu hal dengan mudah, tetapi ada perkara yang memakan masa. Tapi secara amnya saya mudah memaafkan. Apa-apa yang saya rasa tak membahagiakan, saya let go. Saya manusia, ada masa tak mudah melepas dan melupakan.
Daiyan sudah menjangkau usia 30 tahun, apa yang Daiyan cari pada usia 30-an?
Saya hanya mahu selesa dengan diri saya sendiri dengan mengerjakan apa yang membuatkan saya adalah diri saya. Saya mahu menjadi seorang yang berprinsip kerana bila usia kita semakin bertambah, kita perlu ada asas yang baik untuk membentuk dan membawa kita ke arah yang mahu kita tujui. Stay rooted in myself.
Saya pernah tanyakan soalan ini kepada Aina Abdul, benarkah bila kita semakin berjaya kita semakin kehilangan teman-teman?
Ada orang kata, it gets lonely at the top. When I feel I did good, the more lonely I get. Sebelum you tanya soalan ini pun, saya ada terfikir. Orang yang kita kenal lama dan bersama kita akan ada yang separuh jalan meninggalkan kita. Itu semua pelajaran hidup. Kehilangan kawan bagi saya adalah sesuatu yang normal dalam hidup, sesuatu yang semua orang lalui. Sebabnya, setiap orang membesar dalam fasa dan jalan yang berbeza-beza, dan adakala tiba masanya tidak bersama. Berpisah boleh jadi hal yang terbaik untuk kedua-duanya. Cara saya mungkin tak kena dengan cara mereka dan begitulah sebaliknya.
Tapi… saya tetap anggap diri saya bertuah kerana saya masih punya kelompok kawan rapat yang ramai. Ada teman rapat dalam kategori kawan sekolah, teman industri dan lain-lain. Kami sahabat rapat yang teramat erat.
Okey, saya nak tanya tentang Levi’s memandangkan Daiyan dan Levi’s sangatlah connected., dari menjadi pelajar pelatih (intern) hinggalah menjadi wajah depan Levi’s. Levi’s di mata Daiyan?
Levi’s antara jenama yang in a heartbeat saya akan kata ‘yes’ pada apa-apa saja. Dia macam EH! lah… gitu (Daiyan berseloroh). Macam saya cakap, saya seorang yang setia. Saya selamanya rasa berhutang dengan orang-orang yang meletakkan kepercayaan kepada saya sewaktu awal saya bermula. Ia bagaikan ada tali yang tak terlihat menghubungkan ikatan ini. Levi’s adalah jenama pertama yang menghargai saya sebagai seorang pemuzik. Mereka memahami dan menghargai nilai yang saya bawa sebagai artis. Mereka cukup menghargai seni, artisan dan kualiti pembuatan. Ia sebuah jenama yang punya identiti yang sangat kuat.
Levi’s pertama Daiyan?
Seingat saya, Levi’s pertama saya thrifted sewaktu saya sekolah lagi. It didn’t fit me at all but I make do. Saya pakai tali pinggang dan itu dah buat saya seronok. Masa sekolah pakai Levi’s mestilah rasa best.
Stail Daiyan menggayakan denim?
Mesti dengan baju-t putih.
Suka yang lusuh, biru gelap atau hitam?
Saya senang dengan yang biru lusuh dan biru gelap.
Lebih gemar jaket atau kemeja denim?
Jaket semestinya.
Tiga perkataan mendefinisi Levi’s
Malar segar, edgy dan kasual.
Kisah denim dan Levi’s menoktahi perbualan saya dan Daiyan petang itu. Sebelum saya berangkat pulang Daiyan sempat memainkan single keduanya yang bakal terlancar tak lama lagi. Saya suka vibes lagu itu bagaikan menekan suis yang menghidupkan kembali memori zaman universiti saya. Untuk Daiyan, tahniah atas kelahiran album terbaru ini, dan saya percaya sesiapa saja yang mendengar 11 trak album ini akan berasa semakin dekat dengan Daiyan, kerana tiap karya yang lahir dari hati pasti bisa ‘berhubung’ dan menyentuh hati yang lain.