Di Malaysia, badan yang kurus merupakan aspek utama yang ditekankan untuk kelihatan cantik. Apabila berat badan meningkat, mulalah anda merasa tidak cantik dan kurang selesa untuk berfesyen. Sebenarnya, penyebab anda merasa begitu adalah keyakinan anda yang hilang, bukan bentuk badan anda yang berisi. Sekiranya anda tahu menyembunyikan kelemahan badan anda, gayakan pakaian dengan betul dan tambahkan sedikit keyakinan diri, anda juga boleh menjadi fesyenista seperti selebriti-selebriti di bawah ini.
Gambar: celebritybabyscoop.com
Queen Latifah
Walau apa pun yang dikenakan oleh Queen Latifah, dia pasti akan kelihatan yakin dan cantik. Dia tidak segan mengenakan gaun bodycon yang sememangnya ditakuti oleh mereka yang berisi. Dia juga tampak yakin bergaya dengan kardigan berjalur tanpa merasa risau akan kelihatan lebih besar kerana corak itu.
Gambar: fanpop.com
Adele
Walaupun Adele boleh dikatakan playsafe dengan mengenakan warna-warna yang gelap, namun dia berani untuk mengenakan pakaian yang ketat dan melekat pada badannya. Dia juga pandai memilih potongan dan fabrik yang boleh membuatkannya nampak elegan dan menyerlahkan potongan badannya.
Gambar: grantland.com
Octavia Spencer
Pemenang Oscar, Octavia Spencer dinamakan Forbes sebagai di antara selebriti yang berpakaian paling cantik pada tahun 2012, sememangnya sangat celik fesyen dan berani bergaya. Sekiranya anda merasakan gaun peplum membuatkan anda nampak lebih besar, Spencer berani mengenakannya dan ia membuatkannya lebih anggun di karpet merah. Spencer tidak mengehadkan rona helaian yang dikenakan kepada hitam dan warna gelap sahaja. Dia turut berani mengenakan warna-warna pastel dan masih kelihatan begitu cantik setanding dengan mereka yang bersaiz 2!
Ambil selebriti-selebriti ini sebagai idola fesyen anda. Tak perlulah anda bersedih sekiranya berbadan besar. Apa yang paling penting adalah keselesaan dan keyakinan anda dengan bentuk badan sendiri.