Tidak perlu terus melabur pada serum mewah atau krim anti-penuaan bernilai ratusan ringgit. Apa yang penting ialah memahami fungsi setiap langkah dalam rutin harian dan memilih produk yang sesuai dengan jenis kulit anda tanpa membebankan dompet.
Kulit cantik tak semestinya perlukan bajet besar. Ramai yang fikir untuk mula rutin penjagaan wajah, perlu berbelanja ratusan ringgit tapi sebenarnya, dengan RM50 dan ilmu yang betul, anda sudah boleh bina rutin asas yang berkesan. Untuk anda yang baru hendak berjinak-jinak dalam dunia penjagaan kulit, sudah banyak pilihan produk beginner-friendly yang mesra poket dan mudah didapati.
Jadi, kalau anda sedang tercari-cari produk pertama untuk mulakan rutin, anda berada di tempat yang betul. EH! senaraikan lima produk bawah RM50 yang patut ada dalam rutin penjagaan kulit asas anda. Ringkas, berkesan dan berbaloi. Ini adalah permulaan yang sempurna untuk perjalanan kulit sihat dan berseri.
1. Pencuci Muka
Tidak kira berapa langkah rutin anda, pencuci muka sentiasa menjadi permulaan paling penting. Untuk yang baru hendak berjinak-jinak dengan skincare, pilih pencuci yang lembut, bebas alkohol dan tidak terlalu berbuih. Elakkan yang membuat kulit rasa tegang selepas dicuci, itu petanda ia terlalu mengeringkan. Sebaliknya, cari formula yang mengekalkan kelembapan semula jadi kulit sambil membersih dengan lembut. Ingat, kulit bersih ialah asas kepada kulit sihat.
Produk rekomendasi: Hada Labo AHA+BHA Face Wash (RM40)
Jangan takut dengan nama saintifik AHA & BHA kerana formulanya cukup selamat dan sesuai untuk beginner. Pencuci muka dari Hada Labo ini bukan saja membersih secara mendalam, malah bantu tanggalkan sel kulit mati dan bersihkan pori secara perlahan-lahan tanpa iritasi. Formulanya bebas sabun, tak mengeringkan, dan sangat sesuai untuk digunakan dua kali sehari.
2. Toner
Ramai yang skip toner, tapi untuk beginner, toner boleh bantu menyeimbangkan pH kulit selepas mencuci dan beri lapisan kelembapan asas. Selepas mencuci muka, kulit cenderung kehilangan keseimbangan pH dan kelembapan semula jadi. Toner berfungsi sebagai penyegar, penghidrat dan ‘pembuka jalan’ untuk produk seterusnya menyerap lebih baik. Ia umpama sapaan lembut kepada kulit sebelum masuk ke langkah lebih berat.
Produk rekomendasi: Wardah Hydra Rose Petal Infused Toner (RM 39.50)
Diperkaya dengan Rosa Damascena Flower Water dan kelopak mawar sebenar, toner ini bukan sahaja menyegarkan, malah memberi kelembapan yang tahan lama. Formulanya lembut, bebas alkohol dan sesuai untuk semua jenis kulit termasuk kulit sensitif. Ia menenangkan, mencerahkan secara semula jadi. Sesuai untuk beginner yang hendak memulakan rutin dengan sesuatu yang lembut dan mudah digunakan.
3. Serum
Serum mungkin bukan langkah wajib untuk anda yang mahu mulakan rutin penjagaan kulit, tetapi jika anda ingin menambah sentuhan istimewa pada rutin penjagaan anda, serum adalah pilihan yang baik. Ia bertindak sebagai rawatan intensif yang memberi fokus kepada masalah kulit tertentu, seperti parut jerawat, tekstur kasar, atau kulit berminyak. Serum lebih pekat dan kaya dengan bahan aktif, menjadikannya pilihan sempurna untuk memberikan hasil yang cepat dan berkesan.
Produk rekomendasi: The Ordinary Niacinamide 10% + Zinc 1% (RM35)
Untuk mengawal minyak dan pudarkan parut jerawat, serum ini antara holy grail ramai. Walaupun harga bawah RM50, keberkesanannya setaraf jenama mewah. Ideal untuk beginner yang alami masalah minyak berlebihan, jerawat ringan, atau parut. Cukup gunakan beberapa titik selepas toner pada waktu malam kulit akan terasa lebih segar dan bebas daripada masalah minyak dan parut.
4. Pelembap
Pelembap adalah langkah yang wajib ada dalam setiap rutin, tidak kira jenis kulit anda. Mungkin ramai yang fikir kulit berminyak tidak perlukan pelembap, tapi sebenarnya, pelembap adalah penjaga keseimbangan kulit. Ia membantu mengekalkan hidrasi semula jadi dan mengelakkan kulit menjadi terlalu kering atau berlebihan minyak. Jika kulit kekurangan hidrasi, ia akan menghasilkan lebih banyak minyak, dan masalah kulit lain pun akan muncul.
Produk rekomendasi: Safi Hydra Glow Moisturiser (RM42.30)
Pelembap ringan ini kaya dengan Vitamin B3 dan Hyaluronic Acid, ia memberi kelembapan tanpa rasa berat di kulit. Sesuai untuk kulit muda dan baru mula jaga rutin. Formula yang cepat meresap ke dalam kulit ini juga tidak menyumbat pori, menjadikannya ideal untuk kulit muda yang baru mula menjaga rutin penjagaan kulit. Kulit terasa lebih segar, lembut, dan berseri tanpa perlu risau tentang kesan berminyak sepanjang hari.
5. Pelindung Matahari
Pelindung matahari adalah langkah yang paling penting dan tidak boleh diabaikan, walaupun anda hanya berada di rumah. Ia bukan sahaja melindungi kulit daripada sinar UV yang menyebabkan penuaan awal, tapi juga memastikan hasil usaha rutin penjagaan kulit anda tidak sia-sia. Tanpa perlindungan yang mencukupi, kulit mudah terdedah kepada kerosakan akibat sinaran matahari, yang boleh menjejaskan kesihatan kulit dalam jangka panjang.
Produk rekomendasi: Wardah UV Shield Aqua Fresh Essence SPF50 PA++++ (RM 20.50)
Bagi beginner yang baru mahu mula menjaga kulit, pelindung matahari ini adalah pilihan yang ideal. Diformulasikan dengan SPF50 PA++++, ia memberi perlindungan tinggi terhadap sinar UV tanpa rasa berat atau melekit. Teksturnya yang ringan seperti gel membuatkan ia mudah meresap dan tidak mengganggu lapisan pelembap atau makeup anda. Malah, ia mudah dibersihkan dan selesa untuk digunakan setiap hari, walaupun jika anda hanya duduk di rumah.
Artikel Berkaitan: Kulit Naik Biji Halus? Ini Punca Dan Cara Rawat