Irama dan lagu menjadi sebahagian daripada kehidupan kita dan merupakan cara mudah untuk meluahkan sisi kreatif yang ada dalam diri.
Muzik dianggap sebagai puitis yang mencerminkan luahan hati malah ada yang menganggapnya sebagai satu medium untuk membebaskan tekanan setelah bekerja kuat sepanjang hari.
Spotify, saluran music streaming percuma telah mendedahkan senarai album, artis, trek lagu serta momen yang menyerikan tahun 2016. Melalui senarai ini, Drake menjadi artis paling popular manakala Zayn Malik pula disenaraikan sebagai artis baru.
Untuk Spotify Malaysia pula, The Chainsmokers menjadi artis paling disayangi manakala lagu-lagu Justin Bieber dan Ariana Grande pula paling popular. Jadi sempena penghujung tahun ini, EH! senaraikan top 5 lagu mesti dengar yang turut berjaya mendaki carta Spotify Malaysia.
1. Faded – Alan Walker
Lagu ini ditulis dan direkod oleh DJ Alan Walker yang hanya berusia 18 tahun. Menurut beberapa wawancara, lagu ini dihasilkan di rumah milik ibu bapa Alan di Bergen, Norway. Lagu ini turut tersenarai dalam US Billboard Hot 100 (tempat ke 80) dan US Dance Club Songs (tempat ke 4) dan diperakui Platinum di United Kingdom dengan hasil jualan trek per unik sebanyak 600,000.
2. Don’t Let Me Down – The Chainsmokers
Duo dari Amerika Syarikat ini menghasilkan trek yang catchy dengan bantuan penyanyi bersuara merdu, Daya. Lagu ini menjadi single pertama oleh The Chainsmokers dan Daya yang berjaya mendaki tempat Top 5 di carta US Billboard Hot 100. Apa yang lebih menarik adalah lagu ini kini telah dinobatkan untuk kategori Best Dance Recording untuk Anugerah Grammy yang bakal berlangsung pada 12 Februari 2017 nanti.
3. Love Yourself – Justin Bieber
Lagu yang melonjakkan lagi nama Justin Bieber dan membuktikan bakatnya ini ditulis oleh Ed Sheeran dan Justin sendiri. Ia juga merupakan antara lagu akustik yang turut menonjolkan bakat Justin dalam bermain gitar. Di Amerika Syarikat, lagu ini debut pada nombor 4 dalam carta Billboard Hot 100 namun berakhir sebagai lagu nombor 1 pada hujung minggu. Tahun hadapan mungkin kita dapat menyaksikan sisi kreatif Justin yang berbeza kerana melalui lagu ini, dia dinobatkan untuk dua Anugerah Grammy dalam kategori Song of the Year dan Best Pop Solo Performance.
4. We Don’t Talk Anymore (feat. Selena Gomez) – Charlie Puth
Charlie Puth dikatakan telah mencipta petikan gitar dalam lagu ini dan hanya merakamnya menggunakan iPhone di sebuah hotel ketika di Jepun. Selepas beberapa bulan kemudian dia memainkan lagu ini kepada Selena Gomez dan mereka merakamkan lagu ini di dalam sebuah stor kecil dalam masa hanya 15 minit. Lagu ini mendaki carta mingguan Billboard Hot 100 dan berada pada nombor 9 yang juga merupakan lagu kedua yang menaikkan nama Charlie dalam carta Billboard selepas lagu Marvin Gaye bersama Meghan Trainor.
5. Closer – The Chainsmokers
Antara lagu yang sukar untuk dielak tahun ini, Closer menampilkan suara penyanyi unik Halsey dan Andrew Taggart (salah seorang ahli The Chainsmokers). Lagu ini mengenai sepasang kekasih yang cuba menghidupkan kembali cinta mereka setelah berpisah selama empat tahun. Ia juga diinspirasikan oleh lagu ‘I Miss You’ oleh Blink 182.