Dalam sebuah majlis tertutup, Hazama dan Genervie Kam yang mana seorang pemuzik selamat diijab kabulkan pada jam 10.30pagi semalam.
Majlis tertutup pernikahan Hazama dan Genervie ini diadakan di sebuah vila di Gombak. Hazama menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada Genervie.
Pasangan ini dikatakan telah menjalinkan hubungan cinta hampir lima tahun dan masing-masing bersetuju untuk mengadakan majlis secara kecil-kecilan sahaja yang mana perkara wajib tuntutan agama yang diutamakan iaitu pernikahan.
Bagi Hazama, majlis ringkas yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak keluarga ini sudah cukup meraikan dia dan isteri meskipun tidak melangsungkan kenduri kahwin secara besar-besaran.
“Ini adalah permintaan saya dan keluarga kedua-dua belah pihak pun bersetuju dengan melakukan apa yang wajib saja. Cukuplah sekadar majlis ringkas untuk meraikan saya dan isteri. Penyatuan ini cukup memberikan kebahagiaan bermakna walaupun tanpa kenduri besar-besaran,” katanya kepada BH Online.
Hazama dan Genervie kemudiannya melangsungkan majlis resepsi secara bersederhana di villa yang sama iaitu Orchid Villa Gombak.
Selepas ini Hazama bakal memfokuskan kepada latihannya untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu 31 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 22 Januari ini.