Pasangan selebriti paling berpengaruh, Awal Ashaari dan Scha Alyahya membawakan sebuah lagi buah tangan untuk tahun 2017 iaitu dua minyak wangi mereka yang diberi nama Bléu dan Maroòn.
Bertempat di Hotel The Majestic Kuala Lumpur, pelancaran tersebut telah berlangsung dengan penuh versatil bertemakan ala Inggeris dan ia diaturcarakan oleh syarikat baru mereka iaitu LAWA EVENTS Kuala Lumpur yang mana membabitkan dengan pengurusan acara.
Menurut pasangan ini, kedua-dua minyak wangi keluaran mereka ini sebenarnya ingin merealisasikan impian mereka untuk mempunyai wangian yang mencerminkan identiti tersendiri.
“Bukan sekadar wangian biasa, besar harapan kami agar apa yang kami cuba kongsikan ini akan menjadi kegemaran mereka di luar sana pula. Sebagai permulaan koleksi minyak wangi ini boleh didapati di beberapa stokis terpilih di seluruh negara,”katanya.
Bléu ‘Si Penarik Perhatian’ adalah wangian daripada Awal yang mana ia mempunyai aroma maskulin. Ia menggabungkan pelbagai jenis tumbuhan untuk menghasilkan haruman itu. Dengan menggunakan pati minyak cedar, ia mampu bertahan lebih lama sepanjang hari. Yang menjadikan ia istimewa lagi, ia dihasilkan dengan ciri-ciri mesra wuduk.
Manakala wangian daripada Scha pula iaitu Maroòn ‘Tiada Yang Lain’ dicipta dengan sentuhan bauan feminin yang mana ia menggabungkan pelbagai jenis bunga. Ia juga mesra wuduk. Kedua-dua haruman ini sesuai untuk digunakan di pelbagai jenis acara.
Dengan terhasilnya koleksi wangian ini, ia merupakan satu permulaan bagi Awal dan Scha di dalam bidang kecantikan. Di kesempatan itu, ibu dan bapa kepada Lara Alana ini turut ingin berterima kasih kepada rakan media yang selama ini telah banyak membantu mereka di dalam industri hiburan dan perniagaan.
Bukan itu sahaja, ketika pelancaran minyak wangi Awal dan Scha ini, para media turut dipaparkan dengan sebuah video kempen minyak wangi mereka ini yang dirakam di Bangkok.
Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran minyak wangi tersebut adalah rakan-rakan artis termasuklah Elfira Loy, Neelofa, Rita Rudaini, Fasha Sandha, Nazim Othman, Nabila Huda dan ramai lagi.