Meskipun ramai yang tertanya-tanya di mana Malique berada sedangkan album serta lagu nukilannya tersebar luas di serata laman sesawang juga corong radio, penyanyi rap serta komposer ini dilaporkan bakal tampil dengan album berbahasa Inggeris pula pada hujung tahun ini.
Umum tahu yang Malique baru-baru ini melancarkan sebuah album berjudul TKO : Pejamkan Mata, namun dikhabarkan album tersebut adalah album bahasa Melayu yang terakhir daripadanya kerana selepas ini dia bakal menyusul dengan album bahasa Inggeris.
“TKO: Pejamkan Mata ialah album bahasa Melayu yang terakhir daripada saya. Selepas ini, saya akan muncul dengan album Inggeris yang akan dilancarkan pada tahun ini juga,” katanya dalam kenyataan yang dikirimkan kepada BH Online.
Sebelum ini, album TKO: Pejamkan Mata didakwa oleh segelintir netizen yang menyatakan ilustrasi mata ketiga yang tertera pada kulit album tersebut sebagai gambaran Dajjal.
Malique kemudiannya menjelaskan bahawa visual mata ketiga itu sebenarnya membawa maksud mata hati.
“Kulit album yang mempunyai mata tiga ini mempunyai pelbagai tafsiran berbeza. Maksud sebenarnya ialah mata hati. Mesej yang ingin saya sampaikan adalah jangan kita menghukum sesuatu hanya pada luaran dan permukaan, pandanglah dengan mata ketiga iaitu mata hati untuk menyelami dasarnya serta memahami isinya,”jelasnya.
Lagu bertajuk Pejamkan Mata di dalam album tersebut adalah lagu sulung gandingannya bersama Dayang Nurfaizah. Meskipun album tersebut dilancarkan hanya di atas talian sebelum ini, lagu-lagunya boleh dikatakan kerap dimainkan di saluran radio tempatan.