Makanan, jika diambil dalam kuantiti yang sederhana membawa kebaikan pada tubuh. Tetapi andai terkurang atau terlebih makan pula akan membawa binasa.
Ketahui masalah pemakanan yang menghantui sebahagian penduduk dunia.
Anorexia nervosa
Ini antara yang popular. Seseorang itu dianggap penghidap anoreksia pabila dia enggan makan kerana bimbang menjadi gemuk, dan dalam masa yang sama dia telah hilang 15 peratus berat badan asalnya. Penghidap anoreksia juga biasanya mempunyai perasaan takut yang luar biasa. Mereka juga sering berasa diri mereka gemuk lantas membuatkan mereka menjauhi makanan dan melakukan senaman secara berlebihan. Dan sebahagian mereka yang mengalami anoreksia juga cenderung untuk terlibat dalam masalah bulimia.
Bulimia nervosa
Mereka yang menghidap bulimia biasanya akan mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak dan kemudian memuntahkannya, dan biasanya mereka menumpukan pada pengambilan makanan yang kaya dengan kalori. Namun begitu mereka yang menghadapi masalah ini sukar dikenali berbanding mereka yang menghadapi masalah anoreksia.
Nafsu Makan Luar Biasa (Binge Eating Disorder)
Mereka ini biasanya mempunyai masalah berat badan berlebihan (obesiti). Mereka cukup sukakan makanan dan sering makan dalam kuantiti yang banyak dan kerap. Dan sebahagian mereka akan menikmati makanan secara sembunyi (sendirian) kerana malu andai orang mengetahui mereka makan banyak. Tabiat ini lantas membawa kepada masalah atau penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi serta penyakit jantung.