Fattah Amin yang sudah beberapa kali membawa Nur Fazura bertemu dengan ahli keluarganya sangat gembira kerana keluarganya dikatakan menerima aktres itu dengan baik.
“Sebenarnya sudah beberapa kali Fazura berjumpa dengan keluarga saya dan terbaharu malam ini (semalam). Setakat ini keluarga saya terutama ibu tiada masalah dan menerima Fazura dengan baik,” jelas Fattah kepada Astro Gempak.
Bahkan, Fattah sendiri juga sudah berjumpa dengan keluarga Fazura sebelum ini. Boleh kata kedua-dua keluarga memberikan lampu hijau buat hubungan mereka.
Sempena ulang tahun kelahiran Fazura hari ini (27 September), Fattah dan pihak pengurusannya telah mengadakan majlis sambutan hari jadi aktres itu bersama kelab peminat Fattzura.
Ketika majlis tersebut berlangsung, ahli keluarga Fattah turut sama hadir meraikan ulang tahun kelahiran pelakon cantik itu. Menurut laporan Astro Gempak, Fazura dilihat cukup mesra bersama ibu aktor tersebut dengan bersalaman dan berpelukan.
Pada masa yang sama, Fattah berharap peminat dapat mendoakan yang terbaik buat mereka dan selebihnya mereka terpulang kepada jodoh.