Tidak sampai beberapa hari kecoh tentang berita kehamilan Kylie Jenner yang tidak mengesahkan siapa bapa kepada anak kandungan itu, kini Khloe Kardashian pula dilaporkan hamil.
Keluarga Kardashian tidak henti membesar. Kini, Khloe Kardashian pula dikatakan hamil anak pertama dengan teman lelakinya iaitu Tristan Thompson.
Menurut sumber yang memaklumkan kepada media antarabangsa, personaliti terkenal itu sangat gembira dengan kehamilannya itu. Bintang Keeping Up With the Kardashians yang berusia 33 tahun dan pemain bola keranjang berumur 26 tahun itu mula menjalin hubungan sejak setahun yang lalu selepas berkenalan menerusi blind date yang diaturkan oleh teman mereka pada September 2016.
Khloe pernah dikhabarkan bertunang namun, dia menafikannya dengan kenyataan, “Saya kini di dalam sebuah perhubungan yang terbaik dan ia tidak memerlukan sebentuk cincin untuk buat saya rasa gembira.”
Menerusi rancangan realiti tv KUWTK episod terakhir musim ke-13, Khloe mengaku yang mereka kini lebih kerap bercakap soal masa depan termasuklah soal mempunyai anak bersama. “Tristan dan saya sememangnya bercakap tentang niat kami untuk membina sebuah keluarga,” terangnya.
“Dia (Tristan) mahukan seakan lima atau enam orang anak bersama saya, dan ia sangat romantis,” kata Khloe.
Tambahnya lagi, “Kami akan mulakan dengan mempunyai seorang anak dan kemudian tambah lagi dan lagi. Tetapi sekarang kami tahu yang saya tidak mengambil sebarang pil perancang, jadi ia agak menakutkan. Ia seperti mengambil satu langkah yang besar.”
Bintang realiti ini pernah berkahwin sebelum ini dengan Lamar Odom dari tahun 2009 sehingga tahun lalu 2016. Mereka mula berpisah pada tahun 2013.
Bagi Khloe, kehamilan ini adalah anak pertamanya, sementara teman lelakinya, Tristan sudah mempunyai seorang anak lelaki bersama bekas kekasih iaitu Jordan Craig yang kini berusia sembilan bulan.