Kelahiran anak pertama pasangan Amyra Rosli dan Amar Baharin adalah yang ditunggu-tunggu ramai peminat mereka.
Amyra selamat melahirkan bayi lelaki di Pusat Perubatan Prince Court semalam pada jam kira-kira 12 tengah hari. Bayi sulung buat pasangan popular itu dilahirkan secara normal dengan berat 2.48 kilogram.
Menurut laporan BH Online yang dihubungi oleh ibu Amyra sendiri iaitu Noor Zaridah Ahmad yang menyatakan, “Mengikut jangkaan, Amyra bersalin pada 25 Oktober ini. Tapi kuasa Tuhan, anak mereka nampaknya hendak ‘keluar’ lebih awal. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Ibu dan anak juga stabil.”
Menerusi akaun Instagram milik Amyra, dilihat pelakon jelita ini sempat memuat naik sekeping gambar yang menampakkan tangan bayi sulungnya yang memegang erat jari Amar dengan kasyen mensyukuri kurniaan anak buat mereka serta memohon perlindungan buat anak mereka dari sebarang kejahatan.
Sejurus selepas itu, Amar turut berkongsi gambar yang sama. Rata-rata peminat membanjiri ruangan komen kedua-dua gambar tersebut dengan ucapan tahniah menyusuli dengan doa buat kebahagiaan mereka sekeluarga.
Bahkan, ada diantaranya berkongsi rasa teruja untuk melihat wajah putera sulung comel Amar dan Amyra. EH! turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah! Semoga kelahiran bayi ini membawa lebih kebahagiaan dalam rumah tangga pasangan ini.