EH! mengambil kesempatan menemu bual artis British yang cukup hangat dengan lagu ‘Shape Of You’ dan ‘Perfect’, ayuh baca apa yang menjadikan kulit Ed Sheeran semakin cantik!
Bagaimana keadaan anda sekarang Ed? Selepas kemalangan yang melibatkan lengan anda?
Baik! Lengan saya agak sakit selepas membuat persembahan, namun ia pulih keesokan paginya. Saya rasa, saya kembali membuat persembahan agak awal, jadi ia tidak pulih sepenuhnya lagi. Tetapi saya masih dalam keadaan baik.
Kulit anda tampak sihat dan cantik, bagaimana anda menjaga kulit?
Kulit saya? Haha, kemungkinan besar kerana saya baru saja berhenti merokok dalam tujuh bulan yang lepas. Dulu kulit saya tampak agak kusam, saya rasa sejak saya berhenti merokok menjadikan kulit saya lebih bersih. Smoking is bad! Tapi saya merokok selama 13 tahun, dan saya memang suka merokok. Sepanjang saya bebas merokok ini saya cukup menikmati kebaikannya, saya mempunyai lebih tenaga, saya tidur lebih lama dan yang penting saya tidak lagi batuk berdarah di waktu pagi. Jadi ia memang sesuatu yang sihat untuk dilakukan. Jujurnya, saya rasa dunia ini akan menjadi lebih bersih dan sihat tanpa merokok. Dan bagi saya jika anda seorang lelaki, anda mempunyai gigi yang kuning, bau nafas yang busuk dan kulit yang teruk, saya rasa ia tidak menarik langsung. Apa yang menarik adalah jika anda seorang yang sihat dan bersih!
Anda mengambil cuti yang agak panjang sebelum menghasilkan album terbaru ini, adakah ia memberi efek yang mendalam pada penghasilan muzik anda?
Ia agak memberi efek kepada diri saya, ia membantu memberi ruang secara peribadi namun tidak berapa mendalam buat muzik saya. Saya masih menghasilkan muzik yang sama, jadi ia lebih kepada diri saya sendiri.
Lagu kegemaran anda dalam album Divide?
Perfect. Itu adalah lagu pertama yang saya hasilkan dalam album ini.
Bagaimana anda melihat diri anda berkembang dari album pertama hingga sekarang?
Saya rasa sama seperti orang lain, menjadi lebih matang. Kerana saya mula hasilkan album pertama seawal usia 17 tahun dan kini saya 26 tahun. Jadi saya dapat melihat diri saya dan muzik saya lebih matang.
Memandangkan anda pernah muncul dalam beberapa siri television, jadi adakah anda berminat untuk menyertai siri television The Lord Of The Rings, memandangkan anda cukup meminat filem mini?
Really? Agak pelik saya tidak mengetahui berita ini. Ya saya berminat! Saya nampak seperti Hobbit, jadi mungkin I can fit in really well.
Apakah lagu yang tepat untuk menggambarkan hidup anda sekarang?
Post Malone, Rockstar. Sekarang saya kerap memainkan lagu tersebut. Ia menggambarkan kehidupan saya sekarang.
Adakah anda sudah mencuba makanan tempatan yang pedas? Dan adakah anda peminat makanan pedas?
Saya suka makanan pedas, namun tidak yang keterlaluan. Dan saya baru saja mencuba makan cili di sini, jujurnya, ia agak pedas! Jalapeno saya boleh terima, dan sos seperti Jamaican namun itu sahaja, lebih daripada itu saya tidak berapa suka.