Pasangan yang semakin hangat diperkatakan ini telah selamat berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah yang turut disertai ahli keluarga masing-masing. Khabar ada juga mengatakan yang mereka bakal bernikah di sana.
Menerusi siaran akhbar rasmi, Fattah dan Fazura turut memohon seribu kemaafan dan doa dari semua rakan media dan peminat semoga umrah mereka dipermudahkan serta berjalan dengan selancar-lancarnya.
Aktor drama Coffee Prince itu turut sempat memuat naik sekeping gambar di laman Instagram miliknya berserta kapsyen memohon doa supaya perjalanan mereka selamat pergi dan balik serta meminta maaf atas setiap apa yang tersalah.
Menurut laporan portal Harian Metro, malam tadi telah berlangsungnya sebuah majlis yang tidak diketahui majlis apa di sebuah rumah yang dipercayai kediaman nenek Fazura di Petaling Jaya.
Ia mula menjadi tanda tanya ramai pabila dikatakan yang mana turut kelihatan sebuah khemah yang dipacak di halaman kediaman itu serta berdekorasi seakan majlis perkahwinan.
Sebelum ini, pasangan ini turut dikhabarkan bakal bertunang pada 13 November lalu, tetapi diketahui sejauh mana kesahihan berita itu kerana masing-masing tidak mendedahkan akan berita tersebut.
Fattah dan Fazura hanya memohon peminat untuk mendoakan yang baik-baik. Pasangan ini mula terjalin sejak mereka berganding bersama dalam drama berjudul Hero Seorang Cinderella.
Bahkan, menurut laporan akhbar tersebut lagi, pasangan ini dikhabarkan juga bakal bernikah di Mekah ketika urusan mereka menunaikan umrah di sana.
Namun, berita terkini menyatakan yang mana tiada apa-apa majlis istimewa yang akan berlangsung di Tanah Suci seperti yang digembar gemburkan sebelum ini.
Fattah dan Fazura berlepas ke Tanah Suci Mekah kira-kira pada jam 12.10 tengah hari tadi menaiki pesawat Saudi Arabian Airlines. Mereka dijangka akan pulang pada 23 November.
Susulan teka-teki mengenai majlis yang berlangsung di kediaman nenek Fazura malam tadi, Pengurus Fattah Amin iaitu Sakirin Shak menyatakan yang ia sebenarnya adalah majlis kenduri dan doa selamat sempena mengerjakan umrah.
“Bagaimanapun, mungkin ada perbincangan peribadi atau pasal umrah. Saya sendiri tak (tidak) tahu, tunggu selanjutnya kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan Fattah Amin dan Fazura nanti. Saya tidak pasti bila kenyataan itu akan dikeluarkan. Mungkin dalam tempoh terdekat. Apa yang pasti selepas pulang ke tanah air kelak akan ada sidang media daripada mereka berdua,” katanya kepada Harian Metro.
Pereka fesyen terkenal tempatan, Rizman turut sama mengikuti pasangan ini ke Mekah.