Rihanna memberi sumbangan sebanyak RM20 juta sebagai bantuan menghadapi wabak Covid-19, dan bantuan ini bukan sekadar untuk penduduk Amerika Syarikat malah untuk beberapa negara lain. Rihanna memberi sumbangan menerusi The Clara Lionel Foundation yakni yayasan yang ditubuhkannya sendiri (nama yayasan tersebut menggunakan nama datuk dan neneknya) dan dana tersebut antaranya akan disalurkan kepada organisasi yang berkaitan dengan World Health Organization (WHO) termasuklah Badan Keselamatan Antarabangsa.
Wang sumbangannya itu akan digunakan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi serta membantu pekerja kesihatan menyediakan pemeriksaan kepada negara-negara yang memerlukan seperti Haiti dan Malawi. Bantuan ini juga diharapkan dapat membantu para pekerja kesihatan dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik.
Sebelum ini yayasan yang ditubuhkan oleh penyanyi yang baru sahaja dinobatkan sebagai selebriti wanita berpendapatan paling tinggi ini banyak memberi fokus menyalurkan bantuan kepada masyarakat di Caribbean dan Sub-Saharan Afrika.
Menurut Justin Lucas wakil kepada yayasan itu, “Tiada yang lebih penting ketika ini selain menyediakan bantuan perlindungan kepada komuniti yang tidak berkemampuan, merekalah yang akan paling menderita akibat pandemik ini.”