Horizon membuahkan idea buat Alia Bastamam lalu diluahkan ceritanya pada himpunan Resort 20/21 yang bersifat lembut.
Rentak Alia Bastamam untuk koleksi resort yang baru ini dia terus menjulang sisi feminin, DNA penting rumah fesyen ini. Setiap helaian yang dipersembahkan mengikut susuk tubuh wanita namun masih punya perasaan yang bebas.
Alia cuba memberikan aliran baru tentang cara pemakaian dalam suasana unik sekarang. “Rekaan yang diketengahkan adalah lebih ringan dan bebas. Juga, lebih mudah menerbitkan rasa effortless. Tapi masih high impact!” kongsi Alia Bastamam.
Helaian chiffon yang dihasilkan disimbah dengan rona-rona horizon tropikal. Kekal dengan siluet penting rumah fesyen ini terus menyediakan helaian Tail Kaftan dan dress rerama yang menjadi pilihan wanita Alia Bastamam.
Menyuntik inspirasi pantai, fabrik lisu digubah menjadi ropol dan menghiasi lengkok bodice baju. Alia berkongsi yang lisu lipatan pada baju itu mengingatkan pada gambaran kipas tangan juga payung pantai.
Koleksi baru Alia Bastamam Resort 20/21 adalah satu escapism fesyen untuk hanyut dalam keindahan mentari terbenam. Jika keadaan sudah kembali normal, kita mampu escape, buat masa ini biarlah koleksi ini dijadikan madahnya untuk merasa bebas dalam kehidupan dan cinta.
Pautan Berkenaan: Rekaan Timeless Hala Tuju Alia Bastamam