“Semuanya genetik,” ulas Stefani yang mendedahkan ketiga-tiga anaknya iaitu Kingston 14, Zuma, 12 dan Apollo, 6 menghidap disleksia – masalah kesukaran membaca, mengira dan menulis.
Dia memberi penjelasan sewaktu menjadi tetamu dalam rancangan Apple Music bersama Zane Lowe baru-baru ini.
Menurutnya, setelah mereka didiagnosis, barulah dia sedar yang dia menghidap penyakit serupa dan bagaimana ia memberi kesan terhadap keyakinan dirinya sewaktu di sekolah dan pada awal kemunculannya sebagai penyanyi.
“Saya gagal di sekolah walaupun merupakan pelajar yang bagus. Saya mempunyai masalah untuk berfikir seperti rakan-rakan lain. Minda saya tidak berfungsi seperti mereka, sampai sekarang pun begitu.
“Dan saya rasa banyak masalah yang saya ada atau keputusan yang saya buat berpunca daripada itu, kerana sekarang anak-anak saya – jelas, semuanya genetik – mempunyai beberapa masalah tersebut.
“Tetapi sekarang mereka beruntung. Mereka ada guru-guru serta sekolah yang hebat dan mereka tidak perlu berasa malu. Mereka faham otak mereka berfungsi dengan cara berbeza,” sambungnya.
Di Hollywood, Gwen Stefani tidak bersendirian. Personaliti lain yang turut menderita penyakit ini termasuklah Orlando Bloom, Tom Cruise, pengacara Holly Willoughby dan ahli perniagaan, Richard Branson.