Setelah lebih setahun putus hubungan dengan jutawan dari Arab Saudi, nampaknya hati Rihanna kini sedang berbunga dengan kehadiran cinta baru.
Jejaka yang dimaksudkan bukanlah asing baginya iaitu penyanyi rap, A$ap Rocky. Mereka merupakan teman sejak bertahun lamanya dan pernah bekerjasama menerusi lagu Cockiness (Love It) pada 2012 dan muzik video, Fashion Killa pada 2013. Julai lalu, penyanyi rap itu juga muncul dalam kempen iklan Fenty Skin.
Khabar angin yang mengatakan mereka bercinta sudah tersebar berbulan lamanya, namun nampaknya kini ia disahkan setelah paparazi berjaya merakam gambar mereka ketika meraikan malam sebelum Krismas di Barbados baru-baru ini.
Rihanna dan Rocky dikatakan meluangkan masa berjalan dan berpimpin tangan ketika dalam perjalanan untuk melihat matahari terbenam bersama rakan-rakan menaiki Catamaran Cruise, di mana mereka dilihat memakai pakaian rona sedondon.
Kedua-dua penyanyi ini terbang secara berasingan ke Barbados beberapa hari sebelum Krismas. Rihanna dilahirkan dan dibesarkan di kepulauan Caribbean itu, dan masih ramai ahli keluarganya yang menetap di sana.
Sehingga ke hari ini, Rihanna mahupun Rocky belum memberi apa-apa pengesahan mengenai hubungan mereka.
Rihanna sebelum ini pernah bergelar teman wanita kepada Hassan Jameel, Timbalan Presiden dan Naib Pengerusi operasi perniagaan konglomerat keluarga Abdul Latif Jameel dan pewaris kekayaan Abdul Latif Jameel Company, yang mempunyai hak pengedaran kenderaan jenama Toyota di Arab Saudi dan negara-negara lain.
Rihanna dilaporkan sudah bersedia untuk bergelar isteri kepada jutawan tersebut namun hubungan mereka putus di tengah jalan. Sebelum Hassan, dia pernah menjalin cinta dengan Chris Brown, Drake serta Leonardo DiCaprio.
Foto: Angela Weiss/AFP/Getty Images
Baca: #COVID19 Rihanna Derma RM20 Juta. We Can Stand Under Her Umbrella