Berita baik buat Bardi Gang, Cardi B baru sahaja mendapat tawaran hebat untuk berlakon di dalam sebuah filem.
Menurut Variety, Cardi B akan memegang peranan utama untuk komedi baharu terbitan Paramount berjudul Assisted Living.
Dalam filem tersebut, ikon hip-hop ini membawakan watak sebagai Amber, penjenayah di pekan kecil yang terlibat di dalam satu kes kecurian. Ketika melarikan diri daripada pihak polis, dia bergelut mencari tempat untuk bersembunyi.
Disebabkan tiada pilihan, dia menyamar sebagai wanita tua dan bersembunyi di sebuah lokasi terpencil yang dianggapnya selamat – pusat jagaan orang tua di mana neneknya berada.
Skrip yang dikarang oleh penulis This Is Us, Kay Oyegun ini digambarkan sebagai “komedi kasar” dengan “perasaan luar biasa”, sebaris dengan filem klasik hebat Tootsie, Sister Act dan Mrs. Doubtfire.
Pemenang Anugerah Grammy ini membuat kemunculan pertama di layar perak dua tahun lalu dalam filem Hustlers, bergandingan dengan bintang A-list Jennifer Lopez, Constance Wu dan Keke Palmer. Dia juga mendapat tawaran berlakon dalam F9, sekuel filem Fast & Furious terbitan Universal.
Nama penyanyi Bodak Yellow ini mula melonjak selepas membintangi rancangan realiti VH1, Love and Hip-Hop di mana dia membuat kemunculan dari 2015 hingga 2017.
Album pertamanya, Invasion of Privacy dilancarkan pada 2018 dan berjaya menerima triple-platinum.
Selain menyanyi dan membuat kemunculan di dalam filem, Cardi B turut menjadi juri dalam siri pertandingan muzik terbitan Netflix, Rhythm + Flow di mana dia juga merupakan penerbit eksekutif untuk rancangan tersebut.
Foto: Mickalene Thomas