Bintang siri ‘Black-ish’, Yara Shahidi dilamar Dior sebagai wajah global baharu mereka merangkumi fesyen dan juga Dior makeup.
Dior mengumumkan Yara Shahidi sebagai duta global baharunya, Yara Shahidi yang mana pemilihan ini akan menjadikan Yara antara wajah penting dalam mana-mana koleksi Dior merangkumi himpunan fesyen mahupun koleksi alat solek Dior Makeup. Pemilihan ini pastinya akan menyaksikan kemunculan Yara dalam balutan busana ilham Maria Grazia Chiuri dan riasan warna-warna ilham Peter Philips.
Yara Shahidi bukanlah wajah asing dalam dunia glamor Hollywood. Seawal usia sembilan tahun dia sudah muncul di layar perak bergandingan dengan Eddie Murphy untuk filem komedi ‘Imagine That’. Dia juga pernah muncul di dalam filem ‘Salt’ yang dibintangi oleh Angelina Jolie.
Apa yang istimewanya, Yara Shahidi bukan sekadar wajah popular sebarangan, dia juga sebenarnya seorang aktivis dan sangat aktif dengan kerja belakang tabir. Dia penerbit, penulis dan juga pengarah. Namanya sudah tersenarai di dalam majalah TIME sebagai remaja paling berpengaruh, pernah juga tersenarai di dalam barisan 30 Under 30 oleh majalah Forbes dan beberapa lagi pengiktirafan lain.
Nama Yara menjadi buah mulut selepas kecemerlangan siri terbitan ABC, ‘Black-ish’ dan kemudiannya disambung dengan siri sambungan ‘Grown-ish’. Siri tersebut mencipta fenomena bagi saluran kabel itu sendiri apabila mencatat jumlah tontonan tertinggi di episod premiernya, yakni seramai 4.5 juta untuk tiga hari pertama.
Pelajar Universiti Harvard
Yara juga merupakan pelajar universiti terkenal dunia, Harvard dalam jurusan pengajian sosial dan pengajian African American. Mungkin ramai tidak tahu, surat rekomendasi ke Universiti Yara Shahidi ditulis sendiri oleh bekas wanita pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama. Dia banyak terlibat dalam program perbincangan dan debat dengan individu berpengaruh Amerika seperti Barack Obama, Dr Angela Davisdan ramai lagi. Yara menubuhkan Eighteen x 18 pada tahun 2016, dan kini dikenali sebagai WeVoteNext yang mana badan ini adalah platform untuk generasi-z terlibat dalam dunia politik.
Berusia 21 tahun, Yara datang dari keluarga seni. Ayahnya, Afshin Shahidi orang Iran, seorang jurugambar dan antara indidvidu yang merakam gambar penyanyi legenda, Prince. Ibunya, Keri Shahidi pula seorang aktres. Penghujung tahun ini Yara akan muncul sebagai Tinker Bell di dalam filem ‘Peter Pan & Wendy’.
Artikel Berkaitan: 10 Petua Cantik Amalan Supermodel Ternama Dunia