Bvlgari hari ini mengumumkan pelantikan bekas ratu cantik dunia, Priyanka Chopra Jonas sebagai wajah global baharunya.
Isteri kepada ahli kumpulan Jonas Brothers itu menjadi pilihan jenama perhiasan mewah Itali, Bvlgari sebagai duta antarabangsanya dan pemilihannya itu meletakkan Priyanka sebagai bintang Asia yang berjaya membarisi duta antarabangsa Bvlgari bersama-sama Lisa Blackpink. Menariknya pemilihan Priyanka untuk Bvlgari akan memfokuskan kepada tiga fokus utama iaitu dalam hal memperkasakan wanita, kepelbagaian (diversity) dan inclusion.
“Saya memang kagum dengan hasil seni rekaan Bvlgari dan pastinya ia lebih menarik kerana sebahagian batu permatanya datang dari tanah air saya. Dari batu-batu permata penuh warna hinggalah bahan dalam haruman membuatkan India cukup istimewa. Bvlgari juga banyak menggerakkan usaha dalam membantu kanak-kanak seluruh dunia dan saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan mereka,” luah Priyanka atas pemilihan ini.
Baru-baru ini Priyanka Chopra turut melancarkan tabung Covid-19 dalam usahanya untuk membantu negara kelahirannya, India dalam menangani pandemik itu. Dia menjalin kerjasama dengan organisasi bukan kerajaan Give India dalam mengumpulkan dana untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada negara tersebut. Sasaran asal mahu mengumpul US$1 juta tetapi mereka berjaya mengumpul sebanyak US$3 juta dan Bvlgari juga bersetuju untuk menyumbang kepada tabung ini.
Menurut ketua pegawai eksekutif Bvlgari, Jean-Christophe Babin India bukan sahaja sumber inspirasi kepada koleksi mereka malah pelbagai batu permata datangnya dari negara yang mempunyai populasi seramai 1.3 bilion orang itu. Bukan hanya sebagai sumber batu-batu mewah, India juga adalah salah satu sumber bahan untuk haruman Bvlgari. Tahun lalu Bvlgari melancarkan projek ‘Flower Gems of India’ dalam penanaman bunga melati yang mana projek ini melibatkan lebih kurang 100 buah keluarga yang mengusahakan penanaman bunga yang cukup terkenal dalam penghasilan minyak wangi ini.
Bukan sahaja impak kerjaya seninya, pemilihan ini juga mungkin atas penglibatan Priyanka dalam pelbagai aktiviti kemanusiaan termasuklah tugasnya sebagai duta antarabangsa kepada United Nations Children’s Emergency Fund atau UNICEF. Dia juga pernah menerima pengiktirafan dari Danny Kaye Humanitarian atas sumbangannya dalam pelbagai aktiviti kemanusiaan yang dilihat menjadi simbol kepada pemerkasaan jutaan gadis muda.
Penghujung tahun ini Priyanka akan muncul menerusi filem ‘Matrix 4’ dan awal tahu hadapan filemnya ‘Text for You’ Bakal menjengah pawagam pada Februari 2022.
Artikel Berkaitan: Hubungan Intim Lisa Blackpink dan Bvlgari B.zero1