Dalam peralihan ke musim baru, Gucci hadirkan satu lagi koleksi unik “GUCCI LES POMMES” merangkumi seleksi pakaian sedia pakai dan aksesori ‘fun’ yang memesona, bermain dengan motif buah epal dan hati.
Helaian wanita dari rak sedia pakai, menawarkan sejumlah helaian denim seperti seluar pendek, jaket, skirt, kemeja T dan seluar denim yang berpotongan slim dan lebar. Helaian jersi berhud dengan seluar trek yang sepadan atau skirt panjang, atau top kait dan kardigan, bersama seluar pendek, kemeja, skirt, baju panas berhud atau tanpa hud, dan pelbagai kemeja T jersi material kapas untuk mencipta ragam gaya.
Gaya dibezakan dengan cetakan buah epal dan hati yang menyuntik kesegaran dalam pelbagai ragam, turut digabungkan dengan logo Gucci (pada kemeja atau kemeja T) atau pada permukaan monogram GG (terlihat pada seleksi helaian jersi praktikal) atau sebagai tampalan lencana pada variasi denim. Warna yang mendasari koleksi adalah nuansa pastel seperti biru, kuning, peach dan merah jambu. Bermain dengan unsur feminin yang cukup kuat, sambil itu dapat menyerlahkan penampilan terutamanya pabila bergaya santai atau bepergian. Setiap rekaan berpadu dengan koleksi perhiasan dan aksesori yang dirancang secara rapi, dan juga sesuai dengan cita rasa generasi semasa.
Koleksi ini disertakan dengan pilihan sepatu sama ada dengan motif buah epal atau hati pada permukaan rona biru awan atau merah jambu, atau pada kanvas GG Supreme. Tawaran itu merangkumi sandal Princetown dan loafer Jordaan, manakala pilihan sniker pula termasuk Gucci Tennis 1977 dan Rhyton.
Beg tangan, bagasi dan aksesori lain mempuyai motif GG yang digabungkan dengan corak Gucci Les Pommes. Dari rangkaian beg Padlock, beg tote mini berantai, beg bahu berantai, dan beg bahu mini dengan pemegang ‘bamboo’ nyata melengkapi gaya musim baru. Secara langsung, berupaya dijadikan opsyen untuk panduan gaya musim ini. Dan cukup relevan pada bila-bila masa.
Untuk rangkaian bagasi pula, menawarkan tote berukuran mini dan besar juga ‘half-moon’ yang semakin menjadi pilihan para fesyenista. Khusus tempoh kembara yang panjang, beg duffle pula dijadikan cadangan terbaik.
Aksesori kecil lain, seperti bekas kad, dompet, topi baseball, topi bucket dan sebagainya, hadir dalam cetakan GG dengan motif buah epal dan hati pada permukaannya.
Semak item-item hangat koleksi Gucci Les Pommes.
Visi kreativiti Gucci dan ekspresi diri yang bebas terlihat nyata pada tiap rekaan yang terkandung dalam Gucci Les Pommes. Memang perihal tersebut menjadi mesej tersembunyi melalui penghasilan kempen juga rekaan. Fokus pada keperibadian dan karakter itulah yang Gucci ingin tekankan.
Artikel berkaitan: Toga Archives x H&M: The First Look Di Sini!