Penyanyi terkenal, Siti Sarah hari ini selamat melahirkan anak lelaki pada jam lima petang tadi dari kandungannya yang baharu berusia tujuh bulan, dan sehingga kini masih belum sedarkan diri.
Terbaru suami kepada Sarah, Shuib memuat naik satu hantaran emmaklumkan isterinya itu masih belum sedarkan diri buat masa ini. Dia turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan isterinya dan memohon agar semua urusan dipermudahkan.
Sebelum itu, dalam satu kiriman mesej daripada pengurus penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Kesetiaan’ itu, Nana Mohd Rom menyatakan Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki pada jam lima petang. “Walau bagaimanapun keadaan Sarah masih belum sedar. Mohon doa semua untuk dipermudahkan segala urusan,” tulisnya.
Pagi tadi, Siti Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini, akibat tahap oksigen tidak stabil.
Hal ini dimaklumkan sendiri oleh suaminya pelawak Shuib dalam satu hantaran di Instagram. Tulisnya, “Assalammualaikum salam Jumaat semua. Pagi tadi isteri saya dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tak berapa stabil dan keadaan dia yang tak berapa baik.”
“Saya mohon di hari baik hari Jumaat, doakan Sarah dan anak dalam kandungan. Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah berikan kekuatan untuk mereka. Semoga Allah merahmati kita semua, amin,” tulisnya dan muat naiknya itu mendapat respon daripada ramai rakan selebriti dan peminat. Malah ramai rakan Selebriti yang berkongsi muat naik di Instagram meminta semua mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Sarah.
Jam 8 malam ini berlangsung majlis bacaan Yasin yang dianjurkan oleh syarikat rakaman Siti Sarah, Indigital yang mana bacaan Yassin tersebut diketuai oleh Ustaz Haji Ahmad Salahuddin bin Harun. Majlis tersebut turut disertai oleh Dato’ Dr. haji Mohd Fadzillah Kamsah.
Siti Sarah sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas mereka menjalani ujian saringan apabila pembantu rumah disahkan positif wabak itu. Shuib dan Siti Sarah melangsungkan perkahwinan pada tahun 2011 dan hasil perkahwinan ini mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.
Kami di EH! mendoakan semoga semua urusan Sarah dipermudahkan dan Allah mengurniakan kekuatan baginya berhadapan dengan ujian ini.
Artikel Berkaitan: Neelofa Derma Katil Elektronik Untuk Pesakit Covid