Wajah bogel tanpa solekan adalah pilihan paling sihat dan selesa apabila di rumah, namun secalit gincu kala bekerja dari rumah bagaikan memberi ‘nyawa’ kepada kita untuk lebih menghargai diri dan kehidupan hari ini.
Di hujung-hujung pandemik ini, nampaknya gincu akan kembali menyeri senyuman wanita seluruh dunia. Tidak lagi terlindung di balik topeng pelitup muka, wanita kini bebas bermain dengan solekan dan gincu akan terus menjadi item yang akan terus diraikan. Walaupun masih lagi bekerja dari rumah, calitan gincu masih jadi penyelamat dan penyeri tiap kali perlu duduk bermesyuarat secara virtual di depan komputer.
Peter Philips, pengarah kreatif dan imej Dior Makeup mendapat inspirasi daripada bulu burung untuk koleksi alat solek Dior untuk musim luruh/dingin tahun ini. Dari warna pembayang mata, pemerah pipi hinggalah ke gincu bibir, Peter cuba menyelami rahsia di sebalik keindahan warna bulu burung nan pelbagai. Menurut Peter, bulu burung jika diamati pada warna dan teksturnya cukup mewah. “Birds of a feather flock together,” singkat luahnya.
“Warna-warna yang ada pada bulu burung sangat solid yang mencurahkan bermacam-macam inspirasi dalam mengolah warna dalam proses menyempurnakan koleksi ini,” tambah Peter. EH! senaraikan tiga koleksi gincu yang ditawarkan Dior musim ini.
Rouge Graphist
Peter dan Dior menyajikan beberapa pilihan produk buat bibir musim ini dan yang paling menangkap mata saya tentulah Rouge Graphist, pensel bibir yang cukup menarik. Pensel bibir ini bisa dijadikan sebagai pengganti gincu bukan sekadar menegaskan bentuk bibir.
Rouge Graphist hadir dalam tiga warna iaitu Vibrant Nude, ton semula jadi dalam ton merah samar, Vibrant Coral untuk mereka yang mahukan efek bibir yang sedikit oren namun masih natural dan akhir sekali Vibrant Plum yang mana warnanya lebih gelap dan saya rasa ini warna yang patut ada dalam beg tangan anda. Pensel bibir ini hadir dengan efek pusam, jadi satu sapuan sudah memadai. Namun jika mahu efek warna yang lebih pekat dan ‘padat’, boleh oleskan bibir dengan dua lapis calitan.
Rouge Dior Ultra Rouge
Koleksi gincu paling ikonik di Dior turut muncul dengan dua warna baharu menerusi himpunan alat solek baharu Dior ini. Tambah istimewa ia hadir dalam bekas gincu berwarna merah terang yang membuatkannya cukup menonjol. Cukup berpigmen dan melembapkan bibir, ia hadir dengan dua warna dalam ton merah dan sedikit coklat.
Rouge Dior Ultra Care Liquid
Menyalut lembut pada bibir hasil adunan minyak bunga-bungaan, gincu penjagaan bibir ini memelihara bibir agar kekal lembap bagaikan salap bibir. Hadir dalam dua warna iaitu Glide dan Swift.
Artikel Berkaitan: Gincu Nude, Ini 7 Pilihan Kami Untuk Anda Cuba