Peminat Lady Gaga menyatakan bintang “House of Gucci” itu telah ‘dirompak’, Ariana Grande dan Leonardo DiCaprio turut gagal tercalon untuk Anugerah Oscar 2022.
Mengejutkan! Itulah reaksi peminat filem dan pelakon Lady Gaga selepas menonton atau membaca pengumuman senarai pencalonan untuk Anugerah Akademi tahun ini. Senarai pencalonan telah diumumkan oleh Leslie Jordan dan Tracee Ellis Ross secara virtual. Selain Lady Gaga, Ariana Grande dan Leonardo DiCaprio juga antara nama besar yang tidak diumumkan untuk Oscar 2022.
Lady Gaga merupakan nama yang disebut-sebut oleh pengkritik filem untuk menerima pencalonan keduanya dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik. Senarai nominasi untuk tahun ini termasuklah Jessica Chastain daripada “The Eyes of Tammy Faye,” Olivia Colman daripada “The Lost Daughter,” Penélope Cruz daripada “Parallel Mothers,” Nicole Kidman daripada “Being the Ricardos” dan Kristen Stewart daripada “Spencer.”
Bintang kelahiran New York berusia 35 tahun itu telah dicalonkan oleh semua majlis anugerah utama untuk musim kali ini. Bermula dengan Golden Globes, SAG Awards, Critics Choice, sehinggalah kepada Anugerah BAFTA. Dia pernah menjulang trofi Oscar melalui lagu “Shallow” daripada filem “A Star Is Born” untuk kategori “Lagu Asal Terbaik”.
Walau bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu hit seperti “Just Dance”, “Bad Romance” dan “Born This Way” itu telah mengucpkan tahniah kepada “House of Gucci” yang menerima nominasi untuk kategori Solekan dan Dandanan Terbaik. Melalui akaun Instagram, dia telah memberikan penghormatan kepafa semua yang tercalon, terutamanya Göran Lundström, AnnaCarin Lock, and Frederic Aspiras daripada “House of Gucci”.
Manakala rakan duet hit “Rain On Me”, Ariana Grande yang menyayikan runut bunyi untuk filem “Don’t Look Up” turut sama tidak bernasib baik kali ini. Lagu “Just Look Up” yang diciptanya bersama Nicholas Britell telah dipinggirkan. Nominasi kali ini termasuklah Beyonce Knowles-Carter (King Richard), Lin-Manuel Miranda (Encanto), Billie Eilish dan Finneas (No Time to Die), Dianne Warren (Four Good Days) dan Van Morrison (Belfast). Beyonce mencipta sejarah peribadi apabila dicalonkan buat pertama kali.
Satu lagi kejutan hadir apabila nama Leonardo DiCaprio gagal tersenarai dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem “Don’t Look Up”. Pemenang Oscar itu disebut-sebutkan akan dicalonkan buat kali ketujuh keseluruhan selepas memenangi trofi pertama pada 2016 melalui “The Revenant”. Javier Bardem (Being the Ricardos), Benedict Cumberbatch (The Power of the Dog), Andrew Garfield (Tick, Tick … Boom!) ,Will Smith (King Richard) dan Denzel Washington (The Tragedy of Macbeth) melengkapi senarai nominasi tahun ini.
Anugerah Akademi ke-94 akan diadakan pada 27 Mac 2022 di Dolby Theatre, Hollywood.
Foto: Getty Images & Netflix Malaysia
Baca lebih lanjut: Genting SkyWorlds Menjanjikan Keseronokan Buat Seisi Keluarga