“Lagu apa yang akan dia nyanyi nanti? Sudah berapa lagu popular yang dia ada?”, saya tidak nafikan itu yang muncul di benak minda saya saat Aina mengumumkan konsert dua malamnya di Istana Budaya.
Bukan memperkecilkan, tetapi untuk mengadakan konsert, selalunya seseorang penyanyi itu perlu ada paling tidak 10 lagu popular. Namun itu mungkin sekadar mainan minda konvensional saya yang mungkin masih terjerat pada pemikiran lapuk, tidak banyak lagu, tidak boleh buat konsert.
Aina membuktikan ini adalah arus dan arah penyanyi generasi baru. Semua peluang harus direbut, jika peluang tidak datang, kita buka sendiri ruang untuk diri sendiri. Dan itulah yang dilakukan oleh Aina. Saat nama sedang memuncak dia menganjurkan konsertnya sendiri. Tanpa penaja, Aina bergerak terus ke hadapan merealisasikan impiannya.
Jadi Ahad lalu saya ke Istana Budaya tanpa meletakkan sebarang expectation yang lebih-lebih. Saya ke sana mahu berhibur, mendengar vokal Aina yang memang sudah terbukti kehebatannya. Saya mahu menikmati rendisi baharu lagu-lagu Aina dengan iringan susunan muzik Mac Chew dan Jenny Chin. Saya juga ingin mendengar sekali lagi ‘Sepi’ yang sangat cemerlang susunan dan vokalnya di pentas AJL. Dan saya juga mahu mendengar rendisi Aina mendendangkan lagu-lagu penyanyi lain (kerana Aina kata dia akan mempersembahkan lebih 20 lagu).
Sepanjang dua jam menonton persembahan Aina, saya harus berikan satu kredit kepada energi Aina di atas pentas. Dia tidak malu-malu, dia nampak yakin bergerak mengelilingi pentas. Dia tidak malu-malu, orang kata dia macam ‘naik hantu’. Berdiri, berlari, duduk, melutut semuanya ‘dipersembahkan’ seadanya. Sesekali gerak tubuhnya yang ‘naik sheikh’ itu seperti Beyonce di atas pentas. Saya tidak mahu bercakap soal vokal kerana siapa yang mengenal Aina sudah tahu sehebat mana suaranya itu.
Aina membuka pentas dengan lagu ‘Fool’, single Inggeris terbarunya. Dalam balutan gaun emas Wan & Mary, Aina bergerak bebas, walau tidak seiring penari pengiring, she got groove! Bermula dari penonton terus hanyut dengan dendangannya hinggalah penampilan serba putih (perincian bulu-bulu) mendengakan lagu-lagu dalam bentuk akustik termasuklah ‘Tunggu Kamu’ nyanyian bersama Lah Ahmad. Asyik sekali!
Saya sangat seronok dengan segmen lagu-lagu klasik seperti ‘At Last’, ‘You Make Me Feel (Like A Natural Woman) dan ‘Ain’t No Mountain High’. Aina mempersembahkannya dengan bersahaja. Saya enjoy sekali (dan berdiri usai segmen itu). Konset malam itu diakhiri dengan dendangan ‘Semalam’ dan ‘Sepi’ yang digilap dengan susunan muzik yang lebih extensive.
Melihatkan konsert ini membuat saya mahu menghargai Aina (juga pasukan kerjanya) lebih lagi kerana mereka memberikan perhatian kepada hal-hal penting. Saya suka sekali dengan pencahayaan pentas malam itu, permainan cahaya laser membuat pentas Istana Budaya sangat hidup malam itu. Namun tiada konsert yang sempurna 100 peratus, akan sentiasa ada ruang untuk diperbaiki. Saya percaya sebagai seorang yang tidak betah duduk di zon selesa, Aina akan cepat-cepat melakukan ‘bedah siasat’ agar mana yang kurang boleh diperbaiki.
Oh ya sebelum saya mengakhiri perkongsian pengalaman saya ke konsert Aina ini, saya mahu bertanya, susahkah untuk kita meraikan usaha orang lain? Saya perasan sejak persalinan rambut Melinda Looi buat Aina di malam pertama tular, ada beberapa stylist berkongsi video ‘pereka asal’ kostum itu. Saya tidak tahu apa niatnya, saya harap bukanlah kerana mahu memberitahu ilham itu bukan idea asli, atau sekadar luahan rasa bitter? Hanya tuan badan tahu niat di hati.
Apa pun, seperti kata Aina persembahannya malam itu bagaikan satu majlis graduasi di hadapan bintang-bintang senior, dan saya boleh kata Aina pulang dengan ‘Anugerah Naib Canselor’ malam itu. Tahinah! All the best untuk A Night with Aina Abdul 3.0!