Bintang ternama Korea Selatan ini diumumkan sebagai wajah kempen Longchamp sempena ketibaan musim bunga/panas 2023.
‘Business Proposal’ mencetus fenomena seluruh dunia sementelah siri itu dipertontonkan di saluran streaming popular Netflix tahun lalu. Dan semestinya bintang siri itu juga menerima tempias populariti termasuklah heroinnya, Kim Se-jeong. Pelbagai kejayaan diraih seperti Pelakon terbaik di Asia Artist Awards. Dan berbekalkan kemasyhuran serta personaliti menarik, maka tidak hairanlah bila Longchamp memilih Kim sebagai wajah baharunya.
Kempen terbaru Longchamp yang dilancarkan minggu ini dirakamkan di Seoul dan menariknya kelibat pengarah kreatif Longchamp, Sophie Delafontaine turut terlihat di set tersebut. Untuk kempen ini Kim disarungkan dengan himpunan sedia pakai Glamping yang mana koleksi ini menonjolkan permainan corak dan warna dan pelbagai material. Kata Kim jalinan kerjasamanya bersama Longchamp adalah satu kolaborasi yang menerujakan.
BACA: Apartment Paris Inspirasi Butik Terbaru Longchamp di Pavilion KL
“Ini satu penghormatan bagi saya, bersama Longchamp saya dapati banyak persamaan termasuklah dalam hal stail.”- Kim Se-jeong.
“Kami berbesar hati mengalukan kehadiran Kim ke dalam keluarga Longchamp kami,” kata Sophie. “Bukan sahaja dia punya bakat nan hebat, tetapi dia juga seorang yang ceria, dan energinya menjadikan dia seorang yang menyenangkan. Jika bercakap soal gayanya di hadapan lensa, dia memang tampak natural, dan dia sangat-sangat fotogenik,” tambahnya lagi.
BACA: 5 Gaya Selebriti Paling Memukau Di Anugerah Grammys 2023