Pelakon kelahiran Ipoh, Tan Sri Datuk Michelle Yeoh sekali lagi mencipta sejarah & mengharumkan tanah air Malaysia, apabila menjadi wanita Asia pertama memenangi anugerah lakonan filem terkemuka di SAG menewaskan Cate Blanchett, Danielle Deadwyler, Viola Davis dan Ana de Armas yang diadakan di Los Angeles.
Kemenangan yang tidak henti, sejarah baharu tercipta sekali lagi apabila Tan Sri Datuk Michelle Yeoh menjulang trofi Female Actor In A Leading Role di Anugerah Screen Actors Guild (SAG Awards). Pemenang Golden Globes itu juga mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama memenangi anugerah lakonan filem terkemuka di SAG.
Yeoh yang sebak, memberi ucapan, “Saya rasa jika saya bercakap, hati saya akan meletup. Perjalanan yang jauh untuk mendapatkan ini (trofi SAG Awards) seperti menaiki roller-coaster, ia naik dan turun. Tetapi yang paling penting, jangan pernah berputus asa. Saya berterima kasih kepada semua… bukan hanya untuk saya, malah ini mewakili impian setiap gadis kecil yang ingin berjaya!”
Namanya juga tersenarai dalam penerima anugerah berprestij Hollywood, Oscar tahun ini. Kemenangan yang terbayar selepas hampir 40 tahun dalam industri seni kini mulai menyirami Yeoh dengan tuah yang diraihnya pada malam anugerah Golden Globes dan Screen Actors Guild (SAG Awards).
Kini berusia 60 tahun, ini merupakan kali pertama namanya tercalon dalam senarai anugerah pencalonan Oscar dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik untuk persembahannya dalam Everything Everywhere All At Once. Pengumuman itu dibuat semalam di Teater Samuel Goldwyn di Beverly Hills, California di mana pelakon Riz Ahmed dan Alison Williams menganjurkan acara strim langsung itu.
Everything Everywhere All At Once memasuki ‘perlumbaan’ Oscar dengan 11 pencalonan penuh, termasuk anugerah Gambar Terbaik dan Pengarah Terbaik. Mungkinkah tuah Tan Sri Datuk Michelle Yeoh dalam Oscar terjadi seperti Golden Globes dan SAG Awards?
Baca: 10 Filem Terbaik Michelle Yeoh Menurut Rotten Tomatoes