Kedatangan Coldplay ke Malaysia untuk menjayakan konsert jelajah dunia mengundang keterujaan di kalangan peminat.
Kumpulan rock terkemuka itu bakal tiba di Malaysia pada bulan November bagi menjayakan Music Of The Spheres World Tour. Ini merupakan konsert sulung Coldplay dan dijadualkan berlangsung pada 22 November 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ia meraih sambutan luar biasa apabila tiket konsert habis dijual dalam masa beberapa jam sahaja.
Kumpulan yang dianggotai oleh Chris Martin, Jonny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion itu memulakan siri jelajah pada Mac lalu di Costa Rica. Persembahan mereka diteruskan di beberapa lokasi di seluruh dunia termasuk Tokyo, Kaohsiung (Taiwan), Jakarta, Perth seterusnya Kuala Lumpur.
Walaupun konsert mereka telah lama dinantikan peminat tempatan, terdapat segelintir pihak yang membantah kehadiran Colplay ke negara ini. Salah satu alasannya adalah kerana kumpulan itu dilaporkan menyokong budaya LGBT secara terang-terangan. Bukan itu sahaja, mereka juga sering mengibarkan bendera ‘pelangi’ ketika menjayakan konsert. Justeru penganjuran konsert dikatakan menyumbang kepada kerosakan akidah umat Islam.