Radar populariti Timothée Chalamet menjulang tinggi selepas muncul menerusi filem ‘Call Me By Your Name’ pada tahun 2017, dan hari ini dia menjadi wajah rasmi haruman ikonik Bleu De Chanel.
Timothée Chalamet, aktor campuran Perancis-Amerika baru sahaja berusia 27 tahun, dan dinamik yang dimiliki pada personalitinya membuatkan rumah fesyen Chanel menyuntingnya sebagaiw ajah rasmi yang baharu buat haruman lelaki popularnya, Bleu De Chanel.
Kempen haruman ini menjadi debut kolaborasi Chamalet bersama Chanel baik menerusi koleksi fesyen mahupun penjagaan diri. Potret rasmi kempen Bleu De Chanel dirakamkan oleh Mario Sorrenti dan untuk filemnya pula disempurnakan oleh Martin Scorsese dan bakal menyusul musim luruh ini.
Aktor Perancis, Gaspard Ulliel adalah wajah rasmi Bleu De Chanel yang pertama namun hayatnya berakhir pada 19 Januari 2022 selepas terlibat dalam kemalangan sewaktu bermain ski. Dia menjadi wajah haruman ini selama 12 tahun.
Bleu De Chanel dicipta oleh pakar haruman Jacques Polge pada tahun 2010 dan ia merupakan haruman lelaki Chanel paling terbaru pada waktu itu selepas Allure Homme Sport. Pada tahun 2014 Chanel memperkenalkan edisi eau de parfum oleh Jacques Polge dan pada tahun 2018 anaknya, Olivier Polge memperkalkan edisi parfum.
Haruman ini menyatukan lemon, pudina, lada merah jambu, anggur, halia dan percikan kuntuman bunga melati, kayu cendana, vetiver dan musk putih. Ia dikelaskan sebagai sebuah haruman aromatik.
Klik pautan INI untuk mendekati haruman lelaki nombor satu di Chanel ini.