EH! diundang ke Seoul untuk menjadi antara yang terawal mendekati edisi terbaru Samsung Galaxy Z Flip5 dan Galaxy Z Fold 5.
Samsung hari ini melancarkan peranti Galaxy boleh-lipat yang kini sudah masuk ke generasi kelima, Galaxy Z Flip5. Ciri dan ‘karakter’ yang dimiliki oleh modul telefon ini terus dipertingkatkan seiring dengan kemahuan dan keperluan pengguna masa kini.
Samsung sebagai salah satu jenama alat elektronik termasyhur dunia khususnya menerusi rangkaian telefon pintarnya semestinya peka dan mahu sahaja menjadi antara jenama yang duduk di barisan hadapan dalam pilihan pengguna. Mahu peminat telefon flip terus setia dengan mereka, Samsung menerapkan beberapa elemen penting dalam menambah baik telefon yang sudah masuk ke edisi kelima ini.
“Semakin ramai orang kini memilih peranti boleh lipat kami yang menawarkan pengalaman yang tidak terdapat pada mana-mana peranti lain. Galaxy Z Flip5 dan Galaxy Z Fold5 ialah peranti terbaharu yang membuktikan komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan teknologi inovatif,” kata TM Roh, Presiden dan Ketua Perniagaan Mobile eXperience di Samsung Electronics.
‘BUKA TUTUP’ LEBIH KUKUH
Galaxy Z Flip5 dilengkapi dengan Flex Hinge yang membuatkan aktiviti buka tutp telefon flip anda lebih kukuh dan lancar selain membuatkan rekaannya lebih solid. Begitu juga dengan skrinnya yang dilapisi dengan bahan berformula tahan hentakan seperti IPX8, bingkai Armor Aluminum dan Corning® Gorilla® Glass Victus®2 pada Flex Window dan bahagian belakang telefon. Malah lebih menarik, sesetengah bahan yang digunakan adalah menggunakan bahan kitar semula. Walaupun peratusan bahan kitar semula yang digunakan adalah tidak sepenuhnya, namun ini adalah satu usaha Samsung untuk menyokong usaha dunia dalam menjaga kesejahteraan alam.
Kedua-dua Galaxy Z Flip5 dan Galaxy Z Fold5 juga telah direka bentuk dengan teliti untuk memenuhi keperluan daya tahan. Skrin utama peranti dilengkapi dengan lapisan penyebar kejutan manakala bahagian belakang telah direka bentuk semula menjadi lebih kukuh. Bersertakan sokongan IPX8, bingkai Aluminium Armor dan Corning® Gorilla® Glass Victus®2 yang hadir pada Flex Window dan penutup belakang, Galaxy Z Flip5 dan Galaxy Z Fold5 memberikan perlindungan maksimum, di samping dipertingkatkan lagi dengan Flex Hinge. Modul engsel bersepadu baharu ini menampilkan struktur dwi-rel yang cukup bertahan kepada kesan hentakan.
APA LAGI YANG BAHARU?
Antara ciri utama yang dapat dilihat secara zahir ialah Flex Window yang lebih besar, yang mana 3.78 kali lebih besar dari generasi sebelum ini. Jadi bila lebih besar lebih banyaklah yang boleh dilihat dari Flex Window. Generasi yang baharu ini menawarkan lebih banyak tetapan pilihan peribadi termasuklah penunjuk waktu grafik (jam) yang boleh dipadankan dengan jam tangan Galaxy Watch6.
Anda juga boleh akses maklumat dengan cepat dan mudah seperti cuaca, menyelaras mainan muzik menerusi Media Controller. Dan dengan hanya meleretkan jari pada skrin boleh mengakses Samsung Wallet untuk membuat bayaran dengan mudah, mengakses kod QR dan kupon, serta pas masuk, kad keahlian, kunci digital dan pas kesihatan.
KAMERA YANG TERUS DIPERHEBAT
Galaxy Z Flip5 juga menawarkan pengalaman penggunaan kamera yang dimahukan pengguna dalam sebuah telefon pintar Samsung Galaxy Flip5. Ia dilengkapi dengan 10MP Selfie Camera dan 12MP Ultra Wide Camera serta 12MP Wide-angle Camera.
Flex Window – pastinya menjadi khabar terbaik buat anda yang suka merakam swafoto kerana saiznya lebih besar. Malah menerusi Quick View pengguna boleh melaras warna, melihat dan memadam foto yang diambil.
FlexCam- Bagi yang mahu bergambar tanpa perlu menggenggam telefon bimbit, FlexCam adalah ciri yang amat digemari pengguna setia telefon ini.
Flex Mode- memudahkan anda untuk melihat foto yang diambil dan bukan itu sahaja anda juga boleh menyunting gambar dengan cepat dan mudah.
Super Steady- ciri ini yang membuatkan rakaman gambar sewaktu anda bergerak masih kelihatan jelas dan tidak bergegar. Ciri Auto Framing memastikan detil di dalam gambar juga difokuskan.
Kamera Galaxy Z Flip5 juga ditambah baik dengan kemaskini AI, seiring dengan trend dan teknologi terkini. Dan lagi satu ciri yang menarik minat pengguna setia dengan telefon ini ialah ‘Nightography’ nya, dan ia semakin baik menerusi telefon ini. Ciri ‘Nightography’ yang ditawarkan mengoptimumkan cahaya foto dan video biarpun dirakam dalam suasana yang amat gelap dan malap. Detil dan warna terakam dengan baik menerusi ciri ini. Foto juga ternyata lebih jelas walaupun dirakam dari jarak yang jauh dengan zoom digital 10X.
Demi memenuhi kemahuan pengguna yang mahukan telefon bimbit mereka tampil lebih menarik dengan cita rasa peribadi, pilihan Flipsuit Case juga pelbagai serta boleh dipadankan dengan reka bentuk Flex Window dengan pilihan kad NFC pelbagai corak.
Galaxy Z Flip 5 hadir dengan dua versi, 256GB dijual pada harga RM4,499 dan Galaxy Z Flip5 512GB, RM4,999. Edisi kelima ini hadir dengan empat pilihan warna Mint, Lavender, Cream dan Graphite. Istimewa untuk anda yang membuat belian secara dalam talian, ada empat lagi warna istimewa ditawarkan iaitu Kelabu, Biru, Hijau dan Kuning.
BACA: Samsung Galaxy Z Fold5, Lebih Solid, Lebih Profesional