Naim Daniel saya fikir antara figura dari kelompok generasi baharu yang sarat dengan falsafah seninya. Jika diselam menerusi karya lagunya, melodi dan liriknya teradun mesra.
Lagu hasil karya Naim yang paling saya suka ialah ‘Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat’. Ada banyak hal yang saya suka tentang lagu yang dinyanyikannya bersama kumpulan DOLLA ini, mungkin dari tajuknya sahaja bagi saya sudah menzahirkan kejujuran, bersahaja dan penuh makna.
Sama jugalah dengan apa-apa yang ditulisnya di media sosial (Twitter kini ‘X’). Selalunya pendek-pendek tapi ada makna. Lazimnya singkat-singkat tapi kadang-kadang makan dalam. Ini antara kata-katanya yang saya petik dari perkongsiannya di ‘X’.
“Ada benda yang lebih menakutkan daripada hantu. Iaitu; menerima kenyataan”.
“Walau macam mana sedih pun hidup; jangan pernah meminta untuk dijadikan perhatian sesiapa”.
“Kadang kita rasa kita banyak salah. Kadang kita rasa kita saja betul. Tak apa, hidupkan proses menjadi manusia? Kita banyak salah? Lama-lama kita belajar. Kita rasa kita saja betul? Lama-lama kita akan ‘diajar’”.
Menurut Naim Daniel, menulis itu perlukan satu ruang yang selamat. Jadi bila dia menulis dalam satu ruang yang bebas tanpa sebarang penghakiman sekeliling dia punya keberanian untuk menulis sejujurnya.
“Pendapat tetap pendapat, tiada betul atau salah. Lebih mudah untuk saya menjadi jujur kepada diri saya bila saya berasa selamat.”- Naim Daniel
“Benda paling sukar ialah untuk tidak tipu diri sendiri, ia ambil masa bertahun-tahun untuk self-acceptance. Kita boleh jadi bijak atau kurang bijak dalam stail tersendiri. Kita boleh tulis sebanyak mana yang kita rasa tetapi adakah ia sama seperti dengan apa yang tidak kita cuba wujudkan tapi ia lahir sendiri?”
Tonton video temubual penuh Daiyan Trisha bersama Naim Daniel di bawah:
Konsep : Daiyan Trisha & Naim Daniel, Penata Gaya: Khairul Abidin, Penyelaras: Farah Ain & Eqa Zulkifli, Fotografi: Edmund Lee, Videografi: Azeem, Grooming: Khir Khalid, Dandanan: Ckay Liow, Pakaian: MSGM.
BACA: “Manusia Adalah Ciptaan Tuhan Paling Complicated,”- Sharifah Amani