Sharifah Amani mahu pemikiran dan perasaannya dizahirkan pada karya penulisannya (filem), dan dia mahu kejujurannya dalam penulisan menyentuh lebih banyak jiwa.
Dilahirkan dalam keluarga seni, jadi bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila wanita ini dikurniakan dengan pelbagai bakat yang berkait dengan seni. Dari berlakon, mengarah hinggalah menulis, semuanya teradun sebati mengalir dalam darahnya.
Bakat lakonannya sudah cukup teruji dan dilaluinya dengan cemerlang, trofi pelbagai anugerah jadi bukti. Dari trofi Pelakon Harapan hinggalah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia, erat digenggamannya.
Aksinya tidak hanya hebat di hadapan lensa, Sharifah Amani juga sebenarnya sudah mengasah taring untuk menjadi seorang pengarah berwibawa. Dia sudah melahirkan pelbagai naskhah menerusi penulisan ceritanya sendiri. Bukan sekadar buat atas alasan mahu mengembangkan kerjaya, namun setiap satunya dihasilkan dengan sentuhan penuh jiwa dan cinta.
Jadi, tidak hairanlah bila karyanya diundang ke pelbagai festival filem antarabangsa. ‘Hawa’, ‘Kampung Bangsar’ dan ‘Sangkar’ pernah menyerikan layar di Roppongi Malaysian Film Week di Tokyo, Jepun. ‘5 Minit’ pula pernah diundang ke Singapore International Film Festival ke-29.
“Saya suka menulis tentang manusia. Saya suka manusia. Kita ini ciptaan tuhan yang paling complicated, paling dangerous, paling baik hati, paling macam-macam. Kita dikurniakan hati dan akal dan dua ini selalu berlawan satu sama lain.”
“Cerita yang saya tulis inspirasinya datang dari sekeliling. Kisah yang saya tulis biasanya tentang orang yang saya kenal.”
“Saya rasa lebih selamat untuk saya menulis tentang sesuatu yang saya tahu supaya saya tak tersasar,” – Sharifah Amani.
Dan menurut Nani, pada usia lewat 30-an ini dia lebih senang untuk mengekspresi apa yang difikir dan dirasa menerusi hasil kerjanya. Baginya sayang jika sesuatu yang lebih besar itu hanya berlegar dan ternoktah di media sosial. Baginya dia sudah melepasi usia 20-an yang mana ketika itu dirinya cukup lantang berkongsi dan meluah pendapat khususnya di media sosial.
“Hari ini saya mahu pemikiran dan perasaan saya disalurkan menerusi hasil kerja, biarlah kerja saya menyentuh perasaan lebih ramai orang berbanding dengan orang tertentu sahaja seperti sebelum ini. Insya-Allah.”
Tonton video temubual eksklusif Daiyan Trisha bersama Sharifah Amani di bawah:
Konsep: Daiyan Trisha & Sharifah Amani, Penata Gaya: Khairul Abidin, Penyelaras: Eqa Zulkifli, Fotografi: Aaron lee (Lensworks Production), Videografi & Suntingan: Zakwan, Solekan: Shiyo Joo, Dandanan: Yusof Ruzaimi, Sut: MSGM.
Baca:“Benda Paling Sukar Adalah Untuk Tak Tipu Diri Sendiri,”- Naim Daniel