Tunggu! Jangan buang lebihan air cucian beras anda! Amalan ini mungkin kelihatan remeh, tetapi terdapat banyak manfaat luar biasa yang terkandung dalam air beras yang masih ramai tidak sedar, membolehkan anda mendapatkan kulit yang cantik dan efektif.
Air beras telah menjadi rahsia kecantikan selama berabad-abad lamanya. Khasiat air beras telah memberikan manfaat luaran yang luar biasa bukan sahaja untuk rambut tetapi untuk kulit wajah anda. Ia telah digunakan untuk tujuan kecantikan kerana mengandungi asid amino, iaitu sejenis protein, vitamin B, inositol, dan juga vitamin E yang bagus untuk kulit anda.
Dengan memahami khasiat air beras, kita dapat mengaplikasikan pengetahuan ini ke dalam rutin kecantikan harian kita, mencipta rutin semulajadi dan berkesan untuk merawat kulit dengan penuh kasih sayang. Oleh itu, EH! sajikan 5 khasiat air beras yang anda perlu tahu.
1. Mencerahkan Kulit
Inositol dalam air beras bukan sahaja memberikan manfaat untuk kelembapan kulit, tetapi juga dalam mengawal pengeluaran melanin, yang memberikan warna pada kulit. Keupayaannya untuk membantu mencerahkan kulit menjadikan air beras sebagai pilihan yang popular dalam rutin kecantikan. Dengan penggunaan yang kerap, ia dapat membantu mencapai tona kulit yang lebih sekata dan mengatasi masalah pigmentasi, meninggalkan kulit tampak lebih cerah dan sihat.
2. Mencegah Masalah Jerawat
Air beras mempunyai antioksidan yang boleh membantu mencegah masalah jerawat anda. Kandungan vitamin B dan insitol di dalamnya boleh memberikan manfaat penting dalam merangsang kolagen pada kulit, yang berperanan menjaga struktur dan kelembutan kulit, sekaligus dapat megurangkan masalah jerawat anda. Dengan penggunaan yang kerap, ia boleh menjadikan kulit anda kelihatan lebih sihat dan bebas jerawat.
3. Mengecilkan Liang Pori
Menggunakan air beras pada wajah boleh membantu mengecilkan pori-pori dan menjadikan kulit anda kelihatan lebih licin dan bersih. Dengan hanya sapukan air beras dengan menggunakan kaedah semburan dalam botol atau anda boleh menggunakan kapas muka lalu sapu ke bahagian wajah anda. Ia benar-benar boleh membantu mengurangkan saiz liang anda dan membuatkan anda berasa lebih yakin dengan penampilan anda.
4. Membaiki Rambut Rosak
Kaya dengan bahan yang bagus untuk rambut seperti vitamin dan nutrien yang boleh meningkatkan kesihatan rambut terutama bagi yang memiliki rambut rosak. Dengan hanya perlu tuangkan air beras pada rambut anda selepas mencuci, tunggu sebentar, dan kemudian bilas dengan air biasa. Jika anda menjadikannya sebagai rutin dalam penjagaan rambut, masalah rambut gugur dan rosak akan pulih dan rambut anda akan kelihatan lebih berkilau dan sihat.
5. Merawat Masalah Kelemumur
Air beras mempunyai kandungan istimewa di dalamnya yang dapat membantu meredakan kegatalan dan menghilangkan kelemumur pada kulit kepala anda.. Ia juga dapat memastikan kepala anda tidak terlalu kering atau berminyak, yang boleh menyebabkan punca terjadinya kelemumur. Jadi, jika anda kerap menggunakan air beras, kepala anda akan menjadi lebih baik dan anda tidak perlu risau tentang kelemumur lagi.
Artikel Berkaitan: 7 Bahan Yang Membantu Anda Kelihatan Cantik Semulajadi Dari Dapur Anda